Peranan Wartawan Makin Mencabar Termasuk Tangkis Penularan Berita Palsu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibeahim menyampaikan perutusan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut pada 29 Mei setiap tahun. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam era ledakan maklumat dan penularan berita palsu yang semakin mencabar, peranan wartawan dan pengamal media bukan sekadar menyampaikan berita semata-mata.
Mereka kini berperanan besar sebagai penapis, penyaring dan pendukung kebenaran demi memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih, seimbang dan berwibawa, kata Perdana Menteri.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka atas dedikasi, keberanian dan komitmen demi amanah kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) diraikan setiap tahun pada 29 Mei bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan para pengamal media di negara ini.
Ini bertepatan dengan sambutan hari wartawan peringkat antarabangsa yang menghargai peranan mereka dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.
Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan dianjurkan Kementerian Komunikasi.
Anwar dijadual merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
