Penyertaan Malaysia Dalam Misi Pengaman PBB Seru Dunia Sokong Naratif Perdamaian – Penganalisis

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyambut ketibaan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Kesediaan Malaysia untuk menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza membuktikan peranan besar negara dalam menyokong sebarang usaha perdamaian di peringkat global.

Ketika mengupas hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, penganalisis berpandangan, langkah tersebut mampu menyuburkan sifat dan jiwa besar negara anggota ASEAN untuk membawa suara perdamaian di mana sahaja konflik berlaku.

“Rundingan damai dan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja merupakan sesuatu yang sebelum ini dilihat mustahil tetapi berkat dan hasrat murni Malaysia, kedua-dua negara itu kini mengubah persepsi geopolitik peperangan kepada kerjasama ekonomi yang memberi manfaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres bergambar bersama pemimpin ASEAN pada perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Justeru, langkah awal Perdana Menteri wajar disambut dengan penyertaan lebih ramai lagi negara anggota ASEAN menjadi ejen perdamaian di mana sahaja konflik berlaku agar dunia menjadi lebih stabil, inklusif dan dihormati,” tegas Abul Jais Ashfaq Ahmed.

Beliau menambah, pengalaman yang diperolehi Malaysia dalam misi pengaman PBB di Lubnan dan Syria membuktikan komitmen berterusan negara disertai disiplin dan akhlak tinggi bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara yang dilanda perang saudara.

Kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN juga wajar dijadikan contoh bagaimana Thailand dan Kemboja dapat diamankan hasil pemeteraian KL Peace Accord yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hari ini.

Abul Jais sifatkan langkah awal Perdana Menteri wajar disambut dengan penyertaan lebih ramai lagi negara anggota ASEAN menjadi ejen perdamaian di mana sahaja konflik berlaku agar dunia menjadi lebih stabil, inklusif dan dihormati.

Terdahulu, ketika mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam mesyuarat dua hala yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini, Anwar mengulangi hasrat berkenaan.

Malah seruan tersebut disampaikan
kepada negara-negara sehaluan termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara-negara kerjasama selatan-selatan.

“Malaysia turut menegaskan pendirian teguh terhadap perjuangan Palestin, serta mengalu-alukan pendirian konsisten PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Anwar berkata pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama Malaysia-PBB, termasuk di bawah kerangka ASEAN-PBB, serta menzahirkan sokongan penuh Malaysia terhadap agenda reformasi PBB, termasuk Pact for the Future dan Inisiatif UN80.

Beliau juga menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkasakan Visi Komuniti ASEAN 2045, seiring dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 melalui pelaksanaan Complementarities Initiative 2.0.

Ini juga menyaksikan satu lagi sejarah tercipta apabila visi berkenaan turut diterima baik PBB dalam memperkasa proses damai bermula dengan rantau Asia Tenggara sebagai model kerjasama keamanan serantau.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *