Facebook PM Anwar Dibanjri Ucapan Penghargaan Rakyat Kemboja

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibanjiri ucapan penghargaan daripada rakyat Kemboja susulan pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja, hari ini.

Rata-rata hantaran yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Anwar dan Pejabat Perdana Menteri (PMO), mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas peranan Malaysia sebagai pemudah cara untuk perjanjian bersejarah berkenaan yang bertujuan memulihkan kestabilan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibanjiri komen rakyat Kemboja yang menghargai pelan perdamaian di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Terima kasih atas usaha gigih anda membantu kami,” tulis pengguna Facebook, Keo Dalis.

Seorang lagi pengguna, Hei Nail menulis, “Terima kasih atas usaha untuk mewujudkan perdamaian,” manakala Teav Kim Leamg pula membuat hantaran, “Saya rakyat Kemboja. Terima kasih atas kebaikan anda yang sentiasa membantu dan menyokong Kemboja mencapai keamanan.”

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibanjiri komen rakyat Kemboja yang menghargai pelan perdamaian di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Ramai pengguna menyifatkan perjanjian damai itu sebagai lembaran baharu bagi keharmonian serantau.

Hantaran itu yang menerima lebih 5,500 komen dan dikongsi lebih 6,300 pengguna turut menyaksikan rakyat Malaysia memberikan pujian terhadap kepimpinan Anwar dalam memupuk keamanan dan diplomasi serantau.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Seorang pengguna menulis, “Ramai kawan saya dari Kemboja dan Thai like bila saya kongsi tentang ini hari ini … tahniah PMX,” manakala seorang lagi mendoakan perjanjian itu membawa “manfaat kepada rakyat dan negara.”

Perjanjian damai berkenaan yang dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu menandakan langkah penting dalam usaha membina semula kepercayaan dua hala antara Thailand dan Kemboja selepas pertelingkahan sekian lama.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Malaysia, selaku pengerusi ASEAN memainkan peranan sebagai perantara dalam memudah cara rundingan yang membawa kepada perjanjian bersejarah berkenaan.

Sementara itu, dalam ruangan komen hantaran yang sama Anwar menyifatkan peristiwa berkenaan sebagai “detik bersejarah” untuk diplomasi ASEAN serta kesinambungan daripada gencatan senjata yang dipersetujui di Putrajaya pada 28 Julai.

Trump ketika hadir pada majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dua negara pada 26 Oktober 2025. Foto AFP

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada rakan serantau dan antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang telah membantu meyakinkan Kemboja dan Thailand untuk berdamai.

Beliau juga menekankan pentingnya untuk memperluas agenda keamanan ke wilayah lain yang dilanda konflik, khususnya Gaza supaya keadilan dan kemanusiaan dapat dikembalikan sebagai teras orde dunia.

“Perjanjian damai itu menjadi bukti bahawa suara ASEAN semakin berpengaruh sebagai penghubung keamanan, membuktikan yang kesederhanaan dan dialog mampu menyelesaikan pertikaian,” kata beliau.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *