Pengukuhan Kerjasama Strategik Malaysia-Brunei Beri Manfaat Bersama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi keberangkatan pulang Sultan Brunei bersama Pengiran Muda 'Abdul Mateen selepas menamatian lawatan negara tiga hari di Malaysia pada 27 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pelbagai manfaat dicapai menerusi lawatan negara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah selama tiga hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil selaku menteri pengiring menerusi hantaran di Facebook memjelaskan, kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik dicapai menerusi Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei (ALC) ke-26, hari ini.

Menurut Fahmi, kerjasama itu merangkumi perdagangan, pelaburan, tenaga, maritim, pendidikan, pertanian serta keterjaminan makanan.
“Malaysia turut menyambut baik langkah penambahan penerbangan oleh Royal Brunei Airlines ke Sabah, di samping pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Bandar Seri Begawan, yang diyakini mampu merancakkan hubungan dua hala,” katanya.

ALC adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang berfungsi sebagai platform bagi pemimpin kedua-dua negara menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu semasa dan bertukar-tukar pandangan mengenai hal-hal serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
ACL ke-26 berlangsung hari ini antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

“Moga hubungan istimewa Malaysia-Brunei terus diperkasakan berlandaskan ukhuwah, kerjasama strategik serta aspirasi bersama, demi kestabilan dan kesejahteraan serantau,” katanya.
Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang ke Brunei pada pukul 3 petang tadi selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari bermula Isnin lalu.

Pesawat khas yang membawa Baginda dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
