PMQT: PM Anwar Beri Jaminan Percepat Projek Pan Borneo Sabah

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 28 Ogos 2025. Foto Parlimen
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI memberi jaminan kemajuan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan lebih dipercepatkan selepas diakui sudah melalui beberapa kelewatan dalam pelaksanaannya ketika ini.
Jaminan tersebut dibuat Perdana Menteri ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Anwar, kerajaan sudah mengambil tindakan lebih tegas dan berani termasuk menamatkan kontrak syarikat yang sebelum ini gagal menyiapkan fasa kerja ditetapkan, termasuk kepada syarikat yang sudah diberi penyambungan kontrak sebanyak dua atau tiga kali.

“Ada yang disambung kontrak, ada dua kali, ada yang tiga kali. Saya sudah tamatkan supaya kita boleh kontrak semula dan insya-Allah berjaya untuk melihat dan menyaksikan perkembangan projek Pan Borneo lebih cepat. Saya yakin dengan cara tender lebih telus ini, projek ini boleh berjalan lebih baik.
“Saya terima teguran (kelewatan di Sabah). Tidak ada sebab projek sama, boleh siap 98 peratus di Sarawak dan kegagalannya banyak di Sabah. Sebab itu pendekatan harus lebih tegas berani dan telus,” katanya menjawab soalan tambahan Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi PMQT hari ini.
Antara punca kelewatan yang dialami jelas Anwar ialah penetapan pelbagai syarat termasuk daripada kerajaan negeri yang mahu projek berkenaan dilaksana syarikat tempatan sebelum ini, turut mendorong kepada kelewatannya.

“Saya kata mana-mana syarikat boleh buat termasuk syarikat besar dengan syarat mesti ada pengagihan projek kecil ke syarikat negeri. (kelewatan di) Sabah, kita warisi (sistem tender), ini bukan baru.
“Sejak tujuh, lapan tahu lalu, bila projek diluluskan, negeri perketatkan syarat. Mesti melibatkan syarikat negeri dan kemudian pelaksanaannya sangat lemah dan banyak terpaksa dibatalkan,” katanya.
Untuk rekod, sehingga penghujung Julai 2024, kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1a, sudah mencapai 77.41 hingga 77.91 peratus merangkumi sebanyak 15 pakej kerja.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
