PRN 17: Keputusan Warisan Bertanding ‘Solo’ Disifatkan ‘Amat Bijak’

Petugas kempen Parti Warisan Sabah (Warisan) memasang bendera gergasi parti itu sebagai bahan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pekan Kimanis 8 Januari. Warisan sudah lama ditolak rakyat Sabah dan kini cuba mengulangi janji kosong mereka pada PRN 17 pula. Foto Bernama
PENDAPAT, 27 Ogos – Keputusan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sebulat suara memutuskan untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain, disifatkan langkah ‘amat bijak’ tanpa mengira situasi demografi politik semasa.
“Parti telah memutuskan secara sebulat suara untuk bertanding 73 kerusi DUN. Maknanya tiada gabungan atau kerjasama dengan parti lain. Jangan percaya jika ada gambaran sebaliknya.
“Ini keputusan parti, bukan keputusan presiden seorang,” kata Mohd Shafie Apdal seakan ‘optimis’ dengan keputusan yang dilihat tergesa-gesa di sebalik cubaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan ‘kerjasama’ seminggu dua ini.

Mengikut peruntukan, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya ia tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
Biarpun keputusan itu seolah-olah memperlihatkan keyakinan mereka untuk kembali meraih sokongan rakyat, namun realitinya langkah itu dijangka tidak banyak mengubah persepsi serta sentimen pengundi di negeri berkenaan.
Rakyat tidak pernah lupa ‘rekod’ pentadbiran Warisan sewaktu menerajui kerajaan negeri masih segar dalam ingatan rakyat, khususnya dari aspek kelemahan dasar, ketidakstabilan politik, dan kegagalan memenuhi janji pilihan raya.

Jangan salahkan kes ‘tebuk atap’ selepas ‘Langkah Sheraton’ 2020 yang bukan sahaja meruntuhkan kerajaan pusat, kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi juga semakin terhakis apabila kerajaan Warisan-Plus turut tumbang pada PRN16.
Kerajaan Warisan dibentuk hanya bila Shafie berjaya membeli beberapa Adun BN selepas pilihan raya umum 2018. Wahal sebelum pilihan raya umum 2018 Shafie juga menegaskan perkara sama, parti Warisan tidak akan bekerjasama dengan mana mana parti termasuk PH, jauh sekali BN. Tapi yang berlaku kerajaan Warisan tidak terbentuk tanpa PH dan setelah beberapa Adun UMNO/BN berjaya dipancing oleh Shafie.
Apa yang Warisan masih tidak sedar adalah para pengundi Sabah kini semakin matang dan kritikal dalam menilai parti politik berdasarkan prestasi lalu sama ada Shafie sendiri layak diangkat semula sebagai ketua menteri atau kekal menjadi ‘CM Tepi’ sekali lagi.
Biarpun Warisan cuba menampilkan naratif baharu dengan berkempen atas dasar memperjuangkan hak negeri, rakyat tidak mudah melupakan kegagalan mereka mengurus isu-isu penting seperti peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta pengurusan sumber alam yang lestari.
Tambahan pula, imej parti itu turut tercalar akibat perpecahan dalaman dan keputusan beberapa pemimpin meninggalkan parti yang menimbulkan keraguan terhadap kestabilan kepimpinan.
Walaupun keputusan solo Warisan mungkin dilihat sebagai strategi mempertahankan identiti parti, tetapi ia juga mengurangkan potensi mereka untuk membentuk kerjasama yang mampu menambah kekuatan, seperti mana yang dilihat kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Lanskap politik Sabah sejak sekian lama memperlihatkan bahawa gabungan dan konsensus adalah faktor penting dalam meraih kemenangan besar disusuli dengan iltizam melaksana pembangunan, bukannya dengan ego dan meniupkan sentimen kenegerian semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
Kita tidak hairan Warisan cuba bangkit dengan bertanding di semua kerusi kerana kegagalan lalu masih menghantui parti itu, juga dilihat kepada kegagalan mereka bertanding di Semenanjung pada PRU15 apabila pulang dengan tangan kosong di sebalik nama Shafie ‘popular’ di Sabah.
Gelanggang sudah mula disediakan, permainan paikologi telah mula diatur dan kini Shafie bakal berdepan dengan ‘takdir’ yang dicipta sendiri sama ada mampu melakukan ‘comeback’ atau sekadar ‘sembang kari’.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


