Penempatan Haram Israel Di Tebing Barat Langgar Undang-Undang Antarabangsa

Salah satu penempatan haram pengganas Israel, Givat Zeev, dekat bandar Palestin, Ramallah, di Tebing Barat yang diduduki secara haram. Foto Reuters
WASHINGTON, 24 Feb – Amerika Syarikat (AS) mengakui pembinaan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, mengembalikan semula dasar lama Washington berhubung isu itu, yang diubah ketika pentadbiran bekas presiden, Donald Trump.
Bercakap pada sidang akhbar ketika lawatan ke Buenos Aires, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, negara itu ‘kecewa’ dengan perancangan Israel untuk membina perumahan baru di Tebing Barat yang diduduki.
“Tindakan ini tidak produktif untuk mencapai keamanan yang berkekalan, sebaliknya ia meyemarakkan lagi permusuhan sehingga semua penduduk wilayah berkenaan terpaksa sentiasa hidup dalam ketakutan.
“Penerokaan haram ini juga tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa dan pentadbiran kami mengekalkan penentangan tegas terhadap perluasan penempatan.

“Dalam pertimbangan kami, ia hanya melemahkan, tidak mengukuhkan keselamatan Israel dalam jangka panjang,” katanya.
Biden sebelum ini menentang pengembangan penempatan Israel dan mengatakan ia tidak produktif kepada keamanan yang berkekalan di wilayah itu.
Bagaimanapun, kenyataan Blinken semalam menandakan buat julung kali seorang pegawai kanan AS mengesahkan amalan itu tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa.
Kebanyakan negara menganggap penempatan yang memisahkan komuniti Palestin itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan sudah berulang kali mengemukakan bantahan.
Namun, Israel terus menuntut hak itu berdasarkan apa yang termaksub dalam kitab suci mereka ke atas tanah itu.
Di bawah Konvensyen Geneva Keempat 1949 dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa melihat pemindahan mana-mana orang awam ke tanah yang diduduki sebagai perbuatan haram.
Perjanjian Oslo pada awal 1990-an juga menghalang Israel untuk meluaskan penempatan Israel.
Kenyataan AS itu dibuat sehari selepas Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich berkata, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan menteri lain bersetuju mengadakan majlis pecah tanah meluluskan pembinaan kira-kira 3,300 rumah di Tebing Barat.
Smotrich berkata, kebanyakan unit yang dibincangkan itu berada di kawasan Tebing Barat di timur Baitulmaqdis, selebihnya di selatan bandar Baitulaham di Palestin.
Kementerian Luar Palestin mengecam pengumuman penempatan Israel itu, dengan menyatakan di media sosial, tindakan itu bakal menjejaskan peluang penyelesaian dua negara.
Pada sidang akhbar itu, Blinken juga ditanya mengenai ‘rancangan selanjutnya’ Netanyahu untuk Semenanjung Gaza, yang membayangkan Israel mahu mengekalkan kawalan keselamatan ke atas semua tanah di barat Jordan.
Ia termasuklah di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki, wilayah di mana rakyat Palestin berharap untuk menubuhkan sebuah negara bebas.
Hamas Beri Amaran Serangan Pengganas Israel Bakal Akibatkan Puluhan Ribu Kematian
Blinken berkata, beliau masih belum melihat butiran rancangan itu, tetapi mengulangi pendirian AS mengenai keadaan Gaza selepas perang terutama penubuhan negara Palestin bebas, yang bercanggah dengan visi Netanyahu.
“Seharusnya tidak ada pendudukan semula Israel di Gaza. Saiz wilayah Gaza tidak boleh dikurangkan. Jadi, kami mahu memastikan sebarang rancangan yang diusulkan adalah konsisten dengan dasar itu,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
