Israel Lakukan Genosid Terhadap Rakyat Palestin Di Gaza – Presiden Brazil

Presiden Brazil Lula da Silva berkata: "Apa yang Israel lakukan bukanlah peperangan tetapi genosid kerana mereka membunuh wanita dan kanak-kanak." Foto Reuters
RIO DE JANERIO, 24 Feb – Presiden Brazil Lula da Silva sekali lagi menegaskan bahawa Israel telah melakukan “genosid” terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Bercakap pada satu acara di Rio de Janeiro semalam, Presiden da Silva berkata: “Apa yang Israel lakukan bukanlah peperangan tetapi genosid kerana mereka membunuh wanita dan kanak-kanak.”
“Beribu-ribu kanak-kanak terbunuh, ribuan lagi hilang. Bukan tentera yang terbunuh, tetapi wanita dan kanak-kanak. Jika ini bukan dikatakan genosid, saya tidak tahu apa maksud sebenar genosid”.
Awal bulan ini, da Silva menyifatkan apa yang dilakukan rejim itu di Gaza sama seperti Holocaust Nazi semasa Perang Dunia II pada 1943.

Bercakap kepada media di luar sidang kemuncak Kesatuan Afrika di Addis Ababa pada 18 Februari, beliau berkata apa yang berlaku di Gaza bukanlah peperangan tetapi genosid.
Beliau menyifatkan apa yang terjadi itu tidak pernah berlaku dalam sejarah.
Berikutan kenyataan itu, Brazil memanggil pulang dutanya ke Tel Aviv pada hari berikutnya.
Sehingga hari ini lebih 29,600 rakyat Palestin terbunuh dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal sejak serangan 7 Oktober tahun lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
