Penduduk Resah Capaian Internet Terputus Secara Tiba-Tiba

Peralatan WiFi Saluran yang ada di Kampung Long Kerebangan di kawasan Long Semadoh, Lawas.

MIRI, 4 Ogos – Penamatan perkhidmatan WiFi Saluran secara tiba-tiba di Kampung Long Kerebangan di kawasan Long Semadoh, Lawas menyebabkan penduduknya terputus capaian Internet.

Salah seorang penduduk kampung tersebut yang kini bertugas di Miri, Glenn Eric berkata pemutusan sambungan Internet secara tiba-tiba itu mewujudkan halangan komunikasi ketara bagi penduduk kampung tersebut yang bergantung kepada WiFi Saluran sebagai penyedia Internet tunggal mereka.

“Mereka tidak lagi mempunyai akses kepada Internet. WiFi Saluran adalah satu-satunya perkhidmatan Internet yang terdapat di kampung kami.

“Kini, penduduk kampung kami terasa asing daripada dunia luar, malah saya tidak dapat berkomunikasi dengan ahli keluarga saya di kampung kerana masalah ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini hari ini.

Glenn menyatakan kegusarannya berhubung situasi itu dan dia tidak mempunyai cara lain untuk mendapatkan khabar berita mengenai keadaan ibu bapanya di kampung akibat ketiadaan sambungan Internet di kampung tersebut pada masa ini.

“Penduduk kampung mendapat maklum balas daripada pembekal perkhidmatan menyatakan kontrak untuk WiFi Saluran telah tamat dan tidak tahu sama ada akan ada pembaharuan mahupun meneruskan sambungan Internet tersebut.

“Kekurangan notis awal atau alternatif menyebabkan penduduk di situ berada dalam situasi sukar kerana tidak dapat melakukan aktiviti penting yang bergantung kepada sambungan Internet termasuk komunikasi, pendidikan dan akses kepada maklumat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Glenn mendapatkan kenyataan daripada salah seorang penduduk kampung yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, masyarakat terjejas kini menggesa kerajaan campur tangan dan menangani isu kritikal ini.

“Walau apapun isu, kami berharap kerajaan tampil membantu. Kami memerlukan tindakan segera untuk memulihkan jaringan hubungan kami dengan dunia luar,” katanya.

Penamatan WiFi Saluran menunjukkan mengenai keperluan mendesak perkhidmatan Internet yang mapan dan boleh dipercayai di kawasan luar bandar.

Akses kepada Internet bukan sekadar kemudahan tetapi satu keperluan untuk kehidupan moden bagi memastikan semua rakyat dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam era digital.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *