Pendaki China Cedera Di Laluan Gunung Kinabalu

Pasukan penyelamat mengangkat mangsa yang cedera untuk dibawa ke Timpohon Gate sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan. Foto JBPM Sabah
RANAU, 12 Feb – Seorang pendaki lelaki warga China diturunkan pasukan bomba selepas mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh dalam kejadian di Kilometer 7.5 Sayat-Sayat Gunung Kinabalu di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, mangsa berumur 43 tahun.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.35 pagi hari ini.
Katanya, mangsa dilaporkan terjatuh dan terhempas bahagian belakang kepala dan menyebabkan berlaku pendarahan di kepala dan telinga mangsa.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MoSAR) menerima laporan daripada Malim Gunung terdapat seorang pendaki terjatuh.

“PBB MoSAR bersama Malim Gunung dan Park SAR membawa turun mangsa menggunakan kaedah ‘Piggyback Carry’ seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pihaknya menamatkan operasi menyelamat mangsa pada jam 1.35 petang.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
