Pemecatan Hamzah, Apakah Tindakan Muhyiddin Betul?

Penganalisis melihat, tindakan pemecatan Hamzah tambah merobekkan kekuatan Bersatu yang telah dijangka dari awal lagi, namun tidak menyangka ia seteruk ini.
PENDAPAT, 15 Feb – Permusuhan dalaman Bersatu rupanya belum berakhir, sekurang-kurangnya sehingga Perikatan Nasional (PN) memilih untuk mencari pengganti Muhyiddin Yassin yang secara tiba-tiba meletak jawatan pada 1 Januari lalu.
Ini setelah bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin melancarkan serangan terbuka terhadap Muhyiddin susulan pemecatannya oleh lembaga disiplin parti pada Khamis, walaupun penangguhan pendengaran Lembaga Disiplin sepatutnya boleh dilakukan.
Penganalisis melihat, tindakan pemecatan Hamzah tambah merobekkan kekuatan Bersatu yang telah dijangka dari awal lagi, namun tidak menyangka ia seteruk ini.

Ia belum dikira lagi dengan sejumlah lebih 17 ahli parlimen bersamanya yang menolak kepimpinan Muhyiddin biarpun Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu menggalas amanah menjalankan tugas timbalan presiden.
Berucap di hadapan lebih 500 penyokong, Hamzah menegaskan beliau masih tertanya-tanya punca sebenar beliau disingkirkan daripada parti.
“Hantu apa yang ada dalam parti Bersatu ini?
“Saya pernah jadi penyokong nombor satu beliau (Muhyiddin). (Namun) hari ini, saya ingin nyatakan, saya penentang nombor satu beliau,” katanya pada perhimpunan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada Sabtu.

Hamzah menegaskan, beliau telah banyak berkorban demi Bersatu dan negara semasa berkhidmat dalam kerajaan tebuk atap 33 bulan.
“Jika kamu guna anjing-anjing upahan (untuk serang saya), kini saya musuh nombor satu kamu,” katanya.
“Muhyiddin minta saya tolong, saya tolong. Minta saya sumbang, walaupun dengan wang saya sendiri, saya beri. Semuanya demi perjuangan (parti), kerana saya sedar perjuangan sebenar perlukan pengorbanan,” tegasnya.

Hamzah turut memohon maaf kepada ahli parti, berkata beliau tidak akan kembali kerana tidak berhasrat membuat rayuan kepada Bersatu.
“Saya nak lihat masa depan lebih cerah. Kita kena ‘reset’, nak bina negara ini,” katanya, menyeru ‘sahabat-sahabat’ beliau agar menyokong perjuangannya.
Hamzah adalah antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat daripada parti semalam susulan kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Dapatan di media sosial juga mengutuk tindakan Muhyiddin yang dilihat terburu-buru memecat Hamzah tanpa memberi justifikasi kuat terutamanya kedudukan Hamzah selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Malah kedudukan Hamzah juga setakat ini selaku ‘ketua’ di dewan berkenaan gagal menyaingi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari segala segi, antara perkara yang mendorong Lembaga Disiplin pro-Muhyiddin memecat Hamzah walaupun hujah mengikut perlembagaan parti itu agak ‘kabur’.
Sekiranya Lembaga Disipilin Bersatu menunda tarikh pendengaran terhadap Hamzah yang berada di Sydney, Australia, mungkin perkara sebegini tidak berlaku namun nasi sudah menjadi bubur.
Pemecatan Hamzah sesungguhnya bukan setakat mencalar kredibiliti Muhyiddin selaku Presiden Bersatu, malah PN sudah tempang walaupun Pas cuba mengelak daripada polemik rakan gabungannya sendiri.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
