‘Siapa Berani Sakau, Duduklah Bilik Saya Di Sungai Buloh Dulu…’ – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Santuni MADANI dan Sambutan Ihya’ Ramadan warga Padang Rengas bersama Perdana Menteri di Padang Rengas pada 14 Februari 2026. Foto PMO
PADANG RENGAS, 15 Feb – Mana-mana pihak yang berani melakukan perbuatan ‘sakau’ wang kerajaan akan berdepan tindakan keras kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sesekali mengizinkan perkara sebegitu diperlakukan di era pentadbirannya.
Perdana Menteri berkata, negara tidak boleh berada di takuk lama apabila individu tertentu khususnya pemimpin sering dikatakan hanya mahu memperoleh kekayaan bagi diri sendiri melalui wang kerajaan.

“Saya tak izin orang nak guna wang kerajaan ini nak sakau… saya tak bagi. Kalau ‘hang cuba, hang berani, tengok… Hang buat’. Kita tangkap, bawa mahkamah dan duduklah bilik saya di Sungai Buloh…”
“Yang tak boleh dipertikai, kita tak sakau duit. Kita tak mahu dah ulang Malaysia ini kerjanya cerita mengenai pemimpin asyik bagi kaya diri dia sendiri…. Saya tak mahu dengar.

“Sementara saya ada mandat, jangan cuba. Soal orang nak maki apa itu soal dia tetapi saya nak minta ibu bapa, saudara-saudari percaya yang kita akan pastikan negara ini di landasan yang betul,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santuni MADANI & Sambutan Ihya’ Ramadhan warga Padang Rengas bersama beliau di Arena Kampung Chuar, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kata Anwar, bukan hasratnya berdendam dengan sesiapa bair pun kini bergelar Perdana Menteri, dalam pada suatu ketika dahulu pernah dimasukkan ke Kem Tahanan Kamunting, sebaliknya kini beliau bekerja untuk membantu rakyat khususnya golongan miskin.

“Cakaplah apa pun, saya bukan nak dendam dengan orang. Nak dendam, marah apa lagi, bagi tahu saya… Dulu duduk di Kamunting, dan kini Allah takdirkan Alhamdulillah dah jadi Perdana Menteri (maka) buatlah kerja nak tolong orang miskin.
“Dana wang yang ada ini wang amanah. Bantulah seberapa banyak, tengok untuk Islam (juga)…. Belum pernah peruntukan untuk pendidikan Islam yang dibuat seperti mana sekarang, dakwah sehingga RM2.6 bilion untuk JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan kegiatan Islam.

“Ingat tahun 2003 dahulu, Perdana Menteri pada masa itu hentikan semua bantuan peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat. Saya jadi Perdana Menteri pada November tahun 2023 bulan November, bulan Januari saya umum bagi balik sekolah peruntukan sekolah agama.
“Tahun lalu kita tambah selain baru-baru ini saya umum lagi, kita bagi RM200 juta untuk baiki semua sekolah-sekolah agama terutama sekolah agama rakyat di negara kita,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan awal RM2 juta untuk pembangunan infrastruktur tambahan Masjid Al-Muttaqin, Padang Rengas.
Selain itu, majlis berkenaan turut menyaksikan sumbangan kepada 28 masjid di Parlimen Padang Rengas dengan jumlah keseluruhan RM140,000; sumbangan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Yahyawiah RM200,000; dan sumbangan Dapur Madani berjumlah RM60,000.

Anwar dalam pada itu turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan masalah dengan menaikkan sentimen kebencian antara kaum yang sehingga dapat memalingkan tumpuan daripada melakukan kerja bagi manfaat rakyat.
“Janganlah timbul masalah di kalangan kita, benci kat orang… Jangan benci Cina, jangan benci India, bergaduh saja tapi kerja tak buat.

“Memanglah baru ini orang bangkit pasal kuil. Saya tegaskan yang kuil perlu ikut peraturan. Masjid pun hari ni dapat buat (projek di) Masjid Al-Muttaqin, ada permohonan, ada peraturan dia, bukan langgar ikut suka.
“Kita ikut peraturan jadi orang lain pun kena ikut jugalah. Ini saja kita minta, tapi janganlah gaduh…. Janganlah sampai kita berpecah belah, (sebaliknya) kita cuba laksanakan dengan sebaiknya,” kata Anwar.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
