Peluasan Baucar Buku MADANI Perhebat Budaya Membaca Di Kalangan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 1 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pelbagai pihak menyambut baik pengumuman terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperluaskan insiatif Baucar Buku MADANI sebanyak 400,000 penerima termasuk kepada golongan pendidik di seluruh negara tahun ini.
Ketua Wanita KEADILAN Sri Gading, Noor Fatin Syahirah Razman ketika dihubungi mengakui pengumuman Perdana Menteri itu bertepatan dengan memperhebatkan budaya membaca di kalangan rakyat terutama golongan muda.
“Menyedari kurangnya budaya membaca di kalangan rakyat mungkin mendorong Perdana Menteri memperhebatkan lagi inisiatif berkenaan kerana tonggak kemajuan negara lahir daripada rakyatnya yang mendalami ilmu pengetahuan melalui pembacaan.

“Saya berharap golongan muda tidak melepaskan peluang ini menimba ilmu sebanyak mungkin bagi mengangkat martabat negara kita yang kini menjadi perhatian dunia selepas Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini,” katanya.
Pandangan tersebut turut disokong bekas warga pendidik yang melihat peluasan inistaif Baucar Buku MADANI kepada guru sebagai satu pengiktirafan besar terhadap usaha menyebarkan ilmu dan memanfaatkan pelajar dan masyarakat.
Ini bagi memastikan pembudayaan dan penyebaran ilmu terus diberi tumpuan semua pihak dalam memastikan generasi muda bersedia dengan cabaran masa hadapan.

”Amat jelas bahawa keazaman Perdana Menteri mahu melihat rakyat lebih berilmu dan bermaklumat sekali gus mencerminkan komitmen kukuh terhadap pembangunan ilmu dan penghargaan terhadap peranan guru sebagai tunjang sistem pendidikan negara.
”Inisiatif ini pasti akan menyemarkkan lagi industri buku dan penerbitan bahan ilmiah bermutu di kalangan pemain industri serta menambah lagi khazanah ilmu yang saya difahamkan penebusan baucar tahun lalu hampir mencapai tahap 100 peratus,” kata bekas Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu, Dikin Musah.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peluasan pemberian baucer itu merupakan usaha berterusan kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Tahun ini kita bagi baucar kepada semua guru-guru. Tahun depan kita lihat dulu keadaan ekonomi negara sebab kita sedang bertarung dengan tarif (isu tarif Amerika Syarikat).
“Dalam masa sama, pemberian Baucer Buku MADANI kepada pelajar universiti masih diteruskan dengan beberapa pengubahsuaian yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT),” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
