Kedudukan Tengku Zafrul Tak Terjejas, Tiada Rombakan Kabinet – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di reruai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 1 Jun 2025. Foto ITBM
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan, kedudukan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak terjejas biarpun beliau mengumumkan keluar UMNO dan berhasrat menyertai KEADILAN.
Menurut Perdana Menteri, Tengku Zafrul sudah memainkan peranan penting dalam menarik kemasukan pelaburan bernilai ratusan bilion kepada negara.
“Dalam soal kedudukan menteri itu tak terjejas. Kita mahu dia teruskan tugas kerana prestasi beliau sebagai menteri pelaburan baik dan negara memerlukan sumbangan beliau,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Anwar turut mengulas kononnya rombakan kabinet berlaku susulan dua jawatan menteri yang bakal kosong selepas penyandangnya mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini, akan dipangku sementara oleh menteri lain.
“Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri letak jawatan dan beri masa mereka untuk melakukan apa yang perlu dan menghabiskan cuti. Saya luluskan permohonan cutinya.
“Sekarang urusan kerajaan berjalan seperti biasa dan mesyuarat Kabinet akan dimaklumkan mengenai menteri yang akan pangku (tugas),” katanya mengulas kedudukan Kabinet selepas pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad minggu lalu susulan kekalahan mereka mempertahan jawatan timbalan presiden dan naib presiden PKR.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

