Pelarasan Kuota BUDI95 Langkah SEMENTARA Tangani Tekanan Subsidi

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan perkara berkenaan berkuat kuasa 1 April 2026 itu disifatkan sebagai pendekatan pragmatik kerajaan dalam mengekang peningkatan perbelanjaan subsidi.

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Langkah kerajaan melaksanakan pelarasan kuota bulanan petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 200 liter daripada 300 liter dilihat sebagai langkah SEMENTARA yang perlu bagi mengurus tekanan subsidi susulan lonjakan harga minyak global akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan perkara berkenaan berkuat kuasa 1 April 2026 itu disifatkan sebagai pendekatan pragmatik kerajaan dalam mengekang peningkatan perbelanjaan subsidi tanpa menjejaskan sebahagian besar pengguna.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata langkah itu tepat pada masanya, meskipun bukan penyelesaian jangka panjang terhadap isu subsidi yang kian meningkat.

Beliau berkata, kos subsidi bahan api yang berpotensi mencecah RM24 bilion tahun ini merupakan risiko fiskal yang semakin ketara dan memerlukan tindakan awal dan pantas.

“Menangguhkan tindakan hanya akan meningkatkan kos pada masa hadapan. Pelaksanaan awal membolehkan pelarasan dibuat secara berperingkat dan terkawal, berbanding risiko langkah lebih drastik sekiranya ditangguhkan,” katanya.

Sebenarnya, pelarasan kuota mengawal penggunaan di peringkat margin, namun pelarasan harga lebih berkesan dalam membentuk perubahan tingkah laku dan memastikan kemampanan fiskal kerajaan.

Manakala pengekalan harga BUDI95 kepada RM1.99 seliter juga amat membantu menstabilkan penggunaan rakyat dengan pelarasan kuota subsidi 200 liter yang akan bernilai RM398 sebulan mulai 1 April buat sementara bagi setiap individu dalam menangani kesan jangka pendek.

Namun yang lebih penting, rakyat diharap dapat memahami pelarasan ini bukan bersifat kekal, sebaliknya membantu mengawal bekalan bahan api sedia ada bagi dapat dipanjangkan melepasi bulan Mei seperti diumum sebelum ini.

Kita tidak mahu situasi panik akibat ketiadaan bekalan bahan api di beberapa negara jiran melanda negara kita sebaliknya masa inilah rakyat bersedia berhadapan dengan penyesuaian selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Sebanyak 90 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, justeru majoriti tidak terjejas. Selain itu, subsidi sektor pengangkutan melalui sistem kad armada (fleet card) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal, memastikan kesinambungan sokongan kepada perniagaan,” ujarnya lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *