Subsidi Diesel: Jame Bidas Pemimpin Sabah Dengar Tohmahan Pihak Pembangkang

Jame Stephen tampil mempertahankan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memperbetulkan persepsi kononnya penduduk di Semenanjung mempertikai harga subsidi bagi diesel kedua-dua negeri itu.
BINTULU, 27 Mac – Tiada mana-mana pihak di Semenanjung yang mempertikan hak dan keperluan Sabah dan Sarawak menikmati harga diesel subsidi pada harga RM2.15 seliter seperti dakwaan seorang pemimpin di Sabah semalam.
Membidas tohmahan itu, Jame Stephen tampil mempertahankan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memperbetulkan persepsi kononnya penduduk di Semenanjung mempertikai harga subsidi diesel bagi kedua-dua negeri itu.
“Saya menasihatkan pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak agar tidak termakan dengan naratif kononnya rakyat di Semenanjung merasa ‘dizalimi’ Kerajaan MADANI sedangkan kerajaan tidak pernah mengenepikan hak mana-mana pihak.
“Sebenarnya yang mempertikai keputusan kerajaan itu hanyalah pihak pembangkang yang cuba memecah perpaduan dan mengapi-apikan sentimen kebencian kerana mereka tidak memahami sebab yang telah dijelaskan Perdana Menteri.
“Rakyat di Semenanjung memahami tindakan Perdana Menteri mengekalkan subsidi diesel di Borneo dan memperkenalkan subsidi diesel menggunakan ‘fleet card’ dan dikekalkan harga subsidi pada RM2.15 seliter di Semenanjung menerusi insiatif Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Untuk pemilk kenderaan persendirian pula, subsidi interim diesel ditambah daripada RM200 kepada RM300 sebulan ekoran konflik di Asia Barat.
“Malah, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua agenda MA63 tidak lagi dilihat sebagai retorik politik bermusim, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan dasar yang konsisten dan berimpak terus kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang menyifatkan langkah kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak sebagai tindakan yang wajar dan memang perlu dilaksanakan.
Presidennya, Ewon Benedick, berkata sebagai antara pengeluar minyak dan gas utama di Malaysia, Sabah dan Sarawak berhak menikmati subsidi bekalan diesel ketika harganya melonjak.
Katanya, jika ada pihak di Semenanjung yang mempertikaikan subsidi itu, mereka perlu melihat kedudukan dan keperluan dua negeri itu terhadap bahan api berkenaan.
“Kalau ada rakan-rakan di Semenanjung yang mempersoalkan kenapa Sabah mendapat subsidi diesel, tanya dulu siapa yang mengeluarkan gas dan minyak itu.
“Sabah adalah pengeluar minyak dan mesti jelaskan kepada Sabah apa yang telah dikembalikan semula kepada rakyat Sabah.
“Jadi, ini pandangan saya, jawapan saya kepada pihak di Semenanjung yang mempertikaikan kenapa Sabah diberi (subsidi) sedemikian,” katanya.
Mengulas lanjut, Jame menasihatkan Ewon supaya mendapatkan maklumat sebenar daripada sumber rasmi dan bukannya hanya melihat komen-komen negatif di media sosial yang diarahkan pihak tertentu.
“Sebagai seorang pemimpin negeri, Ewon seharusnya meneliti keperluan dan mendengar masalah rakyat di negeri sendiri terlebih dahulu, bukannya menambah kemelut isu yang telah diperjelas Perdana Menteri berkali-kali.
“Janganlah merendahkan martabat seorang pemimpin hanya kerana ‘hasutan’ pihak tertentu sedangkan faktanya semua pihak telah menikmati pemberian subsidi bersasar termasuk BUDI95 bagi kenderaan petrol di seluruh negara,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial yang juga penternak, Khairul Johari, berkata kritikan ramai susulan penetapan harga diesel di Sabah dan Sarawak yang jauh lebih murah berbanding Semenanjung yang meningkat kepada RM5.52 seliter berkuat kuasa semalam perlu dilihat secara rasional, selari dengan realiti hidup masyarakat di sana.
Kongsinya, jika harga diesel di Sabah dan Sarawak naik mendadak, antara kesan paling besar adalah kenaikan harga barang terutama bahan mentah seperti ayam dan telur yang dijangka naik berkali ganda.
“Barang sampai sana bukan jatuh dari langit, semua kena bawa masuk (menggunakan) lori, kapal, logistik.
“Semua itu guna diesel. Belum cerita kawasan pedalaman lagi. Ada tempat, masih guna penjana kuasa.
“Bayangkan, kalau diesel di sana naik macam Semenanjung, apa jadi dengan harga barang? Ayam mungkin boleh pergi RM16 hingga RM17 sekilogram, telur pula RM20 hingga RM25 sepapan?
“Apa yang kita nampak naik itu minyak, tapi yang mereka tanggung adalah makan minum harian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web







