Malaysia Hargai Sumbangan Mesir Ke Arah De-Eskalasi Di Asia Barat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik pada 26 Mac 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Malaysia menghargai sumbangan Mesir dalam menggesa pihak yang bertelagah ke arah de-eskalasi, dialog serta penghentian segera keganasan di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, penghargaan itu dizahirkan dalam perbualan telefon beliau bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, hari ini yang turut menyaksikan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar memaklumkan beliau turut menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap konflik semasa di Asia Barat, selain berkesempatan menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada El-Sisi.
“Menyentuh isu Palestin, Malaysia menyokong usaha Mesir dalam membantu Gaza serta menegaskan bahawa sebarang inisiatif keamanan mesti berteraskan gencatan senjata dan akses kemanusiaan,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri memohon sokongan Mesir terhadap misi bantuan kemanusiaan 2026 melalui sempadan Rafah yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Tindakan itu menyaksikan Tehran membalas dengan melancarkan serangan dron serta peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara jiran yang menempatkan aset ketenteraan AS, sekali gus menjejaskan kestabilan pasaran global dan sektor penerbangan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

