Pelantikan Mustapha Tamatkan Krisis KEADILAN Sabah

Pelantikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud sebagai Pengerusi MPN KEADILAN Sabah yang baharu dilihat penting bagi memantapkan parti bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.

KOTA KINABALU, 26 Mei – Ketua Cabang Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud hari ini dilantik sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggantikan Datuk Sangkar Rasam sekaligus menamatkan krisis kepimpinan di negeri itu.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung hari ini. Menurut sumber keputusan tersebut dibuat selepas Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendengar pandangan Ketua-Ketua Cabang KEADILAN Sabah.

Sebelum ini krisis kepimpinan KEADILAN melanda Sabah dan kemuncaknya pada mesyuarat KEADILAN negeri terakhir apabila Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin meminta Sangkar berundur secara terhormat.

Pelantikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud sebagai Pengerusi MPN KEADILAN Sabah yang baharu dilihat penting bagi memantapkan parti bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.

Susulan keengganan Sangkar untuk berundur menyebabkan 15 daripada 25 Ketua Cabang Sabah bertindak meninggalkan mesyuarat.

Razeef yang merupakan jurucakap Sekretariat Majlis Ketua-Ketua Cabang Sabah telah memberikan hujah dalam pertemuan dengan Presiden KEADILAN baru-baru ini.

Dalam pada itu, KEADILAN Sabah menerusi hantaran di Facebook rasmi mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu.

“Tahniah buat YB Datuk Ts. Hj.Mustapha Sakmud atas pelantikan sebagai Pengerusi Keadilan Sabah yang baru.

“Semoga berjaya menggalas amanah yang diberi,” kata kenyataan itu.

Menurut sumber, KEADILAN Sabah dijangka akan mengumumkan rombakan kepimpinan negeri dalam masa terdekat.

“Insyaallah rombakan akan dibuat dalam masa terdekat serta perbincangan hala tuju akan segera dilaksana memandangkan Sabah sudah hampir kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Sangkar atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan Pengerusi KEADILAN Sabah,” kata sekretariat itu.

Sekretariat itu terdiri daripada Ketua Cabang Tuaran bersama Kota Belud, Kota Marudu, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Papar, Beaufort, Kimanis, Sipitang, Pensiangan, Beluran, Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna dan Kalabakan.

Selain Mustapha, ADUN Inanam Peto Galim turut dilantik sebagai timbalan pengerusi yang baharu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *