Kekal Kestabilan Politik Sabah Fokus Utama Mustapha

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berjanji akan mengekalkan kestabilan politik di Sabah. Foto Facebook Mustapha Sakmud

KOTA KINABALU, 26 Mei – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu, Datuk Mustapha Sakmud mengulangi jaminan KEADILAN negeri untuk terus memberi komitmen terhadap usaha mengekalkan kestabilan politik Sabah.

Beliau berkata, komitmen itu sebagai jaminan sokongan terhadap kerajaan negeri yang ada sekarang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan oleh Ketua Menteri.

“KEADILAN Sabah akan terus memberi komitmen menjamin kestabilan politik Sabah sehingga DUN dibubarkan oleh Ketua Menteri,” katanya menerusi kenyataan malam ini selepas beliau diumum sebagai Ketua KEADILAN Sabah yang baharu menggantikan Datuk Dr Sangkar Rasam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berjanji akan mengekalkan kestabilan politik di Sabah. Foto Facebook Mustapha Sakmud

Mengenai pelantikan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, beliau menerima lantikan itu sebagai taklif atau tanggungjawab yang diamanahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden KEADILAN.

“Saya terima lantikan yang diamanahkan Presiden sebagai ‘taklif’ atau tanggungjawab dan bukan ‘tashrif’ atau keistimewaan.

“Perubahan ini menzahirkan nilai parti yang sentiasa membudayakan amalan demokrasi yang segar, di samping menyantuni dan mengangkat ‘local wisdom’ atau kearifan tempatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata fokus KEADILAN Sabah ketika ini ialah memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam kerangka gagasan Malaysia MADANI yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selaras dengan pelantikan itu, beliau turut menggesa pucuk pimpinan parti di seluruh Sabah untuk merapatkan saf perjuangan dan berpadu di bawah pimpinan Perdana Menteri bagi mengangkat martabat rakyat dan negara.

Katanya, Konvensyen Khas KEADILAN Sabah dan program-program pemantapan jentera juga akan diadakan dalam masa terdekat serta berkala sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang.

KEADILAN hari ini mengumumkan pelantikan beberapa pemimpin baharu bagi mengetuai kepemimpinan negeri, termasuk di Sabah yang sebelum ini berdepan kemelut berikutan sebahagian besar Ketua Cabang di negeri ini menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pengerusi MPN sebelum ini.

Pelantikan Mustapha Tamatkan Krisis KEADILAN Sabah

Pada Mac lalu, Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah mengetuai 15 Ketua Cabang dari seluruh negeri menandatangani akuan bersumpah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Sangkar dan memintanya meletak jawatan secara terhormat.

Kumpulan itu turut meminta Presiden KEADILAN menimbangkan agar seorang pengerusi baharu dilantik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *