Pelancong Singapura, Vietnam Maut Nahas Van Dengan Treler

Keadaan anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto JBPM Sabah
SEMPORNA, 11 Mac – Dua pelancong asing maut manakala lima yang lain cedera selepas van pelancong dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Lee Siong Huat, 60, warga Singapura dan Ngo Trinh Buu Dung, 40, warga Vietnam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu van pelancong, lori treler dan sebuah lori box.
Beliau berkata nahas berlaku disebabkan treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong kanan sebelum bertembung dengan van pelancong yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, serpihan kemalangan terkena cermin hadapan lori box yang berada di belakang lori treler terbabit dan pecah namun kedua-dua pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Lima lagi mangsa termasuk pemandu van warga tempatan bersama empat lelaki warga Singapura yang parah dihantar ke hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Mohd Farhan berkata, pemandu lori treler terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Mazlan Sarman berkata, seramai lima anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 20 kilometer sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 petang.
“Terdapat tujuh pelancong asing yang berada di dalam van pelancong berkenaan berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba sebelum semua mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
