Pelaburan RM3 Bilion X-FAB Pacu Industri Semikonduktor Negara – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan bangunan baharu X-Fab Sarawak pada 12 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUCHING, 12 Sep – Pelaburan sebanyak RM3 bilion bagi pembesaran kemudahan pembuatan semikonduktor X-FAB bernilai RM3 bilion di Taman Teknologi Tinggi Samajaya di sini, membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekosistem berdaya maju beserta pekerja berkemahiran tinggi.
Ia bukan sekadar membesarkan pengeluaran bahkan turut meliputi pemindahan teknologi terkini yang terus memacu industri berkenaan dan selangkah lagi menerajui hab semikonduktor serantau.

Detik bersejarah itu dilakar apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembesaran kemudahan berkenaan yang mampu memacu kapasiti pengeluaran di sebalik ancaman tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
“Kita berjaya kerana mempunyai infrastruktur lengkap, rantaian bekalan menyeluruh dan ekosistem dengan tenaga kerja yang betul dan berdisiplin.

“Walaupun kita ada tenaga kerja yang rajin dan berdedikasi, usaha sinergi antara industri dan universiti perlu diperkukuh bagi menghasilkan graduan yang bersedia memasuki industri,” katanya.
Justeru, peluang yang disediakan seperti kata CEO X-FAB, Rudi De Winter kini wajar direbut mahasiswa dalam bidang kemahiran tinggi serta mereka yang berada dalam jurusan teknikal dan vokasional (TVET) bagi membuktikan keyakinan Perdana Menteri tidak sia-sia.

Ini juga memastikan upah yang akan diperolehi setimpal dengan kemahiran dan disiplin tinggi yang menjadi antara faktor penarik pelabur termasuk mempermudahkan urusan kemasukan mereka menerusi MIDA dan MATRADE.
Amanat Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya wajar diambil iktibar setiap daripada kita bahawa kemampuan negara kini terletak kepada keupayaan tenaga manusia yang berdaya saing bagi menghasilkan produk bertaraf dunia.

Tambah beliau, usaha universiti tempatan menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) selari agenda kerajaan memacu pembangunan teknologi tinggi.
Kini pihak universiti digalak mempunyai kepakaran yang diperlukan namun mesti bergandingan dengan industri bagi memastikan latihan dan penyelidikan bersifat praktikal dan relevan dengan keperluan industri terkini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
