Pecah Amanah RM145.5 Juta: Pengerusi Maju Holdings Didakwa Lagi

Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM145.5 juta. Foto Bernama
SHAH ALAM, 24 Sep – Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM145.5 juta.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, menurut Berita Harian.
Dia dibenarkan mahkamah untuk berada di luar kandang tertuduh dengan berkerusi roda sepanjang prosiding pendakwaan dijalankan.

Pertuduhan itu berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa sebagai Pengarah bagi Maju Holding dan di dalam kapasiti itu, diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta, iaitu wang milik syarikat di dalam akaun CIMB Bank Berhad, telah melakukan pecah amanah jenayah.
Ia dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM145,550,000 yang dibayar ke dalam akaun escrow Maybank Islamic Berhad milik Golden Base Construction Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di di Maybank Islamic Berhad, Taman Serdang Perdana, Seksyen 2, di dalam daerah Petaling, Selangor di antara 12 Januari 2018 dan 13 Jun 2018.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 20 tahun, dan sebatan dan denda.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

