Aungerah Tertinggi Timor-Leste Iktiraf Peranan PM Anwar Peneraju ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta di Istana Presiden Timor-Leste di Dili pada 23 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 24 Sep – Penganugerahan ‘Grand Collar of the Order of Timor-Leste’, salah satu anugerah tertinggi negara di rantau jauh ASEAN yang akan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sesungguhnya merupakan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai peneraju dalam menyokong pembangunan dan kerjasama serantau.
Anugerah berkenaan bukan sekadar pencapaian tertinggi yang akan diterima seorang ketua kerajaan asing seperti Datuk Seri Anwar, malah ia mencerminkan harapan tinggi negara itu terhadap inisiatif dan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada kepimpinan Malaysia di bawah teraju Pengerusi ASEAN 2025.

Ini menyerlahkan wibawa Perdana Menteri yang bukan sahaja ‘arkitek’ pembangunan ekonomi serantau, malah juga memastikan keamanan dan kestabilan ASEAN terus dipelihara seperti yang dilakukan kepada rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja pada Julai lalu.
Dalam syarahannya bertajuk “ASEAN & The Role Of Timor-Leste”, beliau menekankan kepentingan penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN sebagai langkah memperkukuh integrasi ekonomi, kestabilan politik dan jaringan diplomasi rantau ini.

“Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–Timor-Leste, malah memberi peluang membincangkan isu-isu global yang mendasari kepentingan bersama,” katanya.
Program berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi RTM pada jam 4 petang waktu Malaysia, memberi peluang rakyat mengikuti amanat serta perspektif Malaysia terhadap perkembangan geopolitik Asia Tenggara.

Lawatan rasmi ini dijangka memperkukuh lagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, keselamatan serta hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.
Dr. Josè Ramos-Horta dan Kay Rala Xanana Gusmão selaku teraju Timor-Leste amat berharap kepada kepimpinan Perdana Menteri dalam mengubah lanskap ekonomi negara mereka dengan penyertaan syarikat besar seperti PETRONAS bagi memacu iklim pertumbuhan baharu negara yang mempunyai 1.3 juta penduduk itu.

Tidak syak lagi lawatan rasmi dua hari Anwar ke negara berkenaan turut memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama serantau, malah memastikan Timor-Leste bersiap siaga menyertai ASEAN sebagai negara ke-11 yang mampu menyumbang peranan dan fungsi asasnya sebagai rakan strategik pelbagai bidang pada masa hadapan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
