Sumud Flotilla Mula Diserang Rejim Israel Menuju Gaza

Misi pelayaran Global Sumud Flotilla mula menerima ancaman serangan dron dipercayai daripada rejim Zionis Israel di kawasan perairan 750 kilometre menuju Gaza pada 23 September 2025.
KAHERAH, 24 Sep – Beberapa siri letupan kedengaran di beberapa bot peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam pelayaran untuk memasuki zon kuning ke Gaza.
Personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee yang turut serta dalam misi kemanusiaan itu berkongsi menerusi laman sosialnya, ketika bot Fair Lady yang dinaikinya menuju ke zon kuning terdapat beberapa letupan di udara dengan niat untuk menakutkan peserta.
“Dalam 3 pagi, Farah tengah tidur (ketika) dikejutkan dengan berita serangan berlaku kepada beberapa bot difahamkan dalam empat, lima bot yang diserang.

“Ada bot yang diserang melalui letupan udara dan ada (serpihan) yang jatuh ke bot hingga mengalami kerosakan,” katanya yang berkongsi pengalaman itu dalam media sosialnya awal pagi ini.
Farah yang berkongsi bot dengan Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein, berkata semua peserta kini dalam keadaan berwaspada dan berjaga-jaga.
“Kami semua sudah dalam ‘mode standby’ dengan berpakaian jaket keselamatan, lampu di kepala dan kasut.

“Semua peserta disuruh tunggu dalam bot sebab serangan berlaku di luar dan kru semua tengah ‘alert’.
“Doakan kami dan insya-Allah kekal tenang, Farah dan semua kat sini selamat saja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah dan Jurucakap Rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Center, Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery, berkata flotilla kemanusiaan sekali lagi diuji di Laut Mediterranean apabila 15 dron rejim Israel berlegar rendah setiap 10 minit sebagai cubaan intimidasi dan operasi risikan.

“Berlaku lapan letupan udara dilaporkan oleh delegasi dan kapal berdekatan, dipercayai sebagai ugutan terbuka terhadap misi ini.
“Seramai 34 delegasi Malaysia kekal dalam keadaan selamat dan bersiap siaga penuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, flotilla kini di zon kelabu iaitu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan belum memasuki zon kuning atau merah.
“Gangguan ini adalah kali keempat sejak pasukan belayar di Lautan Mediterranean dan diyakini sebagai usaha untuk menakutkan serta mengugut.

“Misi ini adalah Misi Kemanusiaan Non-Violent untuk menghantar bantuan serta mendesak perang serta kebuluran dihentikan.
“Kami mendesak kepimpinan serta pendukung dalam negara dan dunia segera mendesak dan melakukan sesuatu atas provokasi kepada kumpulan aktivis kemanusiaan yang adalah orang awam ini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
