PAU 2023: Umno Pikul Amanah Besar Rampas Tiga Negeri Jadi Sebahagian Kerajaan MADANI

TPM Ahmad Zahid semasa ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 yang turut dihadiri PM Anwar di WTC Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Facebook Umno Online.
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan Umno memikul amanah yang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) terhadap negeri yang dikategorikan sebagai Jalur Melayu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Presiden Umno itu berkata, ini disebabkan ia menjadi tanggungjawab mereka secara bersama untuk membawa umat Melayu dan rakyat di tiga negeri itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia.
“Kita tidak mahu negeri-negeri berkenaan diheret ke kancah fahaman politik yang memisahkan rakyatnya daripada hakikat laman politik tanah air.
“Jika kita benar-benar mahu melihat Islam dan Melayu unggul, kebersamaan di dalam kerajaan di Putrajaya akan mengukuhkan agenda Islam Melayu yang sederhana dan progresif,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, banyak agenda pembangunan asas terutama di Kedah dan Kelantan memerlukan perubahan besar.
“Islam itu bersih. Bersih di luar dan bersih di dalam. Untuk bersih, Islam memerlukan air bersih. Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba.

“Apakah mereka tidak diberi peluang? 33 tahun menjadi pemerintah di negeri dan wakil mereka pernah menjadi menteri yang menjaga air, air karat masih gagal ‘dijernihkan’. Karatnya air begitu jugalah karatnya hati mereka,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya anak-anak Kelantan, Kedah dan Terengganu di perantauan untuk memikirkan nasib ibu bapa mereka yang tinggal di tiga negeri ini.
“Janganlah dek kerana satu undi yang kita berikan, kita akan terus membiarkan ibu ayah kita berhadapan dengan kesulitan hidup berterusan. Inilah masanya untuk mereka bersama-sama dengan Kerajaan Malaysia Madani,” katanya.
Ahmad Zahid juga turut menyeru agar peluang PRN yang berlangsung tidak lama lagi digunakan sebaiknya agar ia seiring dengan kerajaan Persekutuan.
“Insya-Allah, kita akan mampu membawa negeri-negeri berkenaan, melakukan perubahan dan hidup rakyatnya penuh dengan dengan kesejahteraan,” katanya.
