PAU 2023: TPM Zahid Tegaskan Umno Bukan ‘Mengkarung Politik’

Zahid berucap semasa sesi Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2023 (PAU 2023) di WTC Kuala Lumpur yang turut dihadiri PM Anwar. Foto Facebook Umno Online.

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Umno bukan “mengkarung politik” yang sanggup menggadaikan perjuangan Islam dan Melayu walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan November lalu, tiada mana-mana parti sekutu termasuk DAP pernah mencabar atau cuba merobek perkara tunjang melibatkan Islam mahupun soal orang Melayu atau Bumiputera.

Beliau membidas tohmahan blok pembangkang kononnya kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera terhakis apabila parti itu menjalinkan kerjasama politik untuk membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya DAP.

Zahid berucap semasa sesi Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2023 (PAU 2023) di WTC Kuala Lumpur yang turut dihadiri PM Anwar. Foto Facebook Umno Online.

Ucapan dasar tersebut dipercayai ditujukan kepada Pas yang pernah menyertai Muafakat Nasional (MN) hingga ia terbubar dengan sendirinya apabila parti itu mengkhianati perjanjian persefahaman yang dimaterai sebelum itu.

“Andai ada yang cuba memainkan sentimen, kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh Umno, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan, Umno bukan ‘political chameleons’ atau mengkarung politik,” katanya yang disambut sorakan ribuan perwakilan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang segak berbaju Melayu biru muda tiba kira-kira 9 pagi bagi menghadiri perasmian PAU 2023, dilihat duduk di sebelah Zahid dalam Dewan Merdeka, dan turut mengibarkan bendera Umno ketika lagu rasmi parti itu dimainkan.

Suasana itu mencetuskan perasaan sebak dalam kalangan perwakilan, dengan ada antara mereka mengalirkan air mata “gembira” melihat bekas pemimpin Umno tersebut turut bersama dalam perhimpunan keramat parti Melayu itu, selepas dipecat 25 tahun lalu.

Anwar dipecat sebagai Timbalan Presiden Umno pada 3 September 1998 oleh Presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad atas alasan salah guna kuasa namun tidak pernah dibuktikan di mana-mana mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *