Pameran Aset Pertahanan Negara Antara Tarikan Utama Program MADANI Rakyat 2025 Melaka

Anggota Tentera Darat meneliti pemeriksaan akhir persiapan Program MADANI Rakyat 2025 Melaka yang membuka tirai pada 17 Oktober 2025. Foto Jabatan Perdana Menteri
MERLIMAU, 17 Okt – Pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan menggamit masyarakat terutamanya dari Melaka dan Muar, Johor untuk bersama-sama memeriahkan Program MADANI Rakyat 2025 zon selatan yang membuka tirai hari ini.
Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program tiga hari di Politeknik Merlimau, Jasin dekat sini dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.
Menariknya, edisi kali ini menampilkan pameran aset dan peralatan ketenteraan yang membolehkan orang ramai melihat secara lebih dekat elemen pertahanan negara serta memahami konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) berasaskan semangat mempertahankan tanah air melalui pendekatan ‘keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat’.

Program berkenaan turut disemarakkan dengan demonstrasi dan persembahan khas Angkatan Tentera Malaysia termasuk anjing perang, kawad senyap, drumline, terjun bebas, gun in action, lintas hormat pesawat Hawk serta demonstrasi tempur tanpa senjata.
Selain pameran ketenteraan, pelbagai perkhidmatan langsung agensi Persekutuan dan negeri turut disediakan termasuk Jualan MADANI, Jualan Agro, program penukaran minyak enjin motosikal, penukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta perkhidmatan gunting rambut percuma.
Di pentas utama, kemeriahan program diserikan dengan persembahan Mari Berselawat Bersama Raihan, Persembahan Murid Gema Perpaduan Generasi MADANI, Peragaan Busana Ketenteraan serta Konsert Rock Kapak yang menampilkan artis legenda seperti Datuk Ramli Sarip, Black Mentor, Akim dan Stacy.
Turut diadakan Pocket Talk: Kempen Internet Sihat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta sesi Terokai Peluang Peningkatan Kemahiran, Laluan Kerjaya Baharu di platform MyMAHIR, yang memberi peluang kepada pengunjung meneroka laluan kerjaya dan pembangunan kemahiran.
Program yang berlangsung dari 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu, dan 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad, memberi ruang kepada pelbagai kementerian dan agensi mempamerkan inisiatif serta perkhidmatan digital mereka selain berinteraksi secara langsung dengan rakyat.
Kemuncak program dijadualkan berlangsung pada Ahad (19 Oktober) dengan program Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


