Apabila ‘Lori’ Calon PM Pas Rosak

Begitu banyak ‘lori’ yang diangkut Pas untuk dijadikan calon perdana menteri membuktikan parti itu cuma kemaruk kuasa tetapi tidak mampu mentadbir negara.
PENDAPAT, 17 Okt – Jika sesebuah kenderaan seperti lori rosak di tengah jalan, bagaimana pula hendak dibaiki dalam keadaan pemandunya tidak memahami apa yang rosak dan tidak pula memanggil ‘mekanik’ untuk mencari apa yang menyebabkan ‘perjalanan’ mereka terkandas.
Lebih teruk, penumpang lori juga tidak tahu menahu apa yang perlu dilakukan bagi membaiki lori yang mereka tumpang dan hanya menunggu ‘keajaiban dari langit’ untuk meneruskan perjalanan ke ke destinasi, contohhnya Putrajaya.
Kemudian, apa berlaku apabila salah sebuah lori yang rosak itu tidak dapat dibaiki dalam waktu singkat sedangkan dua atau tiga lori lain mesti meneruskan perjalanan ketika waktu semakin suntuk?

Keadaan inilah yang boleh diungkap mengenai keadaan Pas ketika ini dengan apa yang pernah dicanang seorang pemimpin mereka ketika disoal siapa calon perdana menteri didakwa kononnya memiliki ‘3 atau 4 lori’ pemimpin yang layak.
“Pas kini umpama pemandu lori yang hilang arah. Katanya (Pas) ada ‘berlori-lori’ calon, tapi rupa-rupanya semua lori itu sedang rosak tepi jalan,” sindir Datuk Mahfuz Omar.
Dakwaan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang berkata, bahawa Pas enggan menamakan calon perdana menteri atas faktor keselamatan sebenarnya sekadar helah parti itu yang ingin menutup sesuatu yang lebih besar.

Maka benarlah apa yang disifatkan Naib Presiden Amanah itu yang dipetik berkata sebelum ini Pas pernah mendakwa mereka memiliki “berlori-lori” calon perdana menteri yang boleh ditawarkan kepada pengundi, justeru tidak logik untuk parti itu enggan mengemukakan sebarang nama.
Katanya, andai calon terbabit disabotaj – seperti didakwa Abdul Hadi kelmarin – mereka masih ada pemimpin lain dari ‘lori’ yang ketiga atau keempat yang boleh diketengahkan.
Tambahan pula, kata Mahfuz, Pas juga mempunyai empat orang menteri besar yang boleh ditawarkan sebagai pemimpin contoh seperti yang sering diuar-uarkan oleh parti tersebut.

“Hakikatnya mudah – Pas tidak berani menamakan calon perdana menteri kerana sedang berbalah dengan Bersatu,” menunjukkan bahawa Mahfuz mengetahui perihal pergolakan dalam dua parti yang ghairah mencabar kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dua tahun lagi.
Berbalik kepada cerita ‘lori’ tadi, dalam ramai-ramai penumpang yang dikatakan ‘calon perdana menteri’ itu, siapa pula yang akhirnya dinobatkan bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘poster boy’ mewakili Pas dan menolak Muhyiddin Yassin serta Hamzah Zainudin?
Tuan Ibrahim Tuan Man? Ahmad Samsuri Mokhtar? Idris Ahmad? Muhammad Sanusi Md Nor atau paling tidak pun Safwan Afnan yang ‘tersasul’ diungkap peserta himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai lepas?

Masihkah kita ingat ketika Pas bersama Pakatan Rakyat sekitar 2008 hingga 2013 dulu, apabila calon perdana menteri ialah Anwar, Pas tiba-tiba mengemukakan nama calon perdana menteri lain – iaitu Tengku Razalegih Hamzah atau Ku Li yang menjadi antara punca PR berpecah – dan tidak timbul pun isu keselamatan seperti disebut Abdul Hadi ketika itu.
Sedangkan Ku Li bertaraf bekas menteri kabinet maka sudah semestinya kawalan keselamatan turut menjadi keutamaan pihak berkuasa walaupun tidak sehebat bekas-bekas perdana menteri sekarang.
Jadi dalih Abdul Hadi boleh saja dipatahkan dengan mudah, Pas tidak mahu calon perdana menteri datang daripada mereka yang tidak boleh dicucuk hidung dalam keadaan pemimpin parti mereka sendiri pun tiada kemampuan untuk menyaingi Anwar sehingga kini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
