Pacuan Empat Roda Bertembung Dengan Lori, Seorang Disahkan Maut

Lokasi kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda dan lori di Sipitang pada 29 Jun 2025.
SIPITANG, 29 Jun – Kemalangan membabitkan enderaan pacuan empat roda yang bertembung dengan sebuah lori tiga tan menyebabkan seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera di Kampung Lingkungan Ulu, Jalan Sindumin, di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.37 petang.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda dan lori membawa muatan besi.
“Pasukan bomba menjalankan kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan kesemua empat mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, tiga mangsa lelaki berusia antara 47 hingga 66 tahun mengalami kecederaan dengan dua daripadanya parah.
“Semua yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Calvin berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.50 petang selepas memastikan kawasan kejadian dalam keadaan selamat dan tiada lagi risiko bahaya lain.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

