Op Tiris: 132 Ribu Liter Diesel Cuba Diseleweng Tumpas Di Tangan KPDN, PDRM

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Azari Miskon bersama Ketua Cawangan KPDN Sibu, Roslee Masli memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati kapal itu membawa muatan diesel dianggarkan sebanyak 132,000 liter yang disimpan dalam sembilan tangki berasingan pada 6 April 2026. Foto KPDN Sarawak
SIBU, 6 Apr – Satu operasi bersepadu dinamakan Ops Tiris 4.0 di Sibu, membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi, Sabtu lalu.
Operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan rapi oleh pasukan penguat kuasa kedua-dua agensi terbabit.
Dalam operasi berkenaan, kapal yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi berjaya ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Azari Miskon bersama Ketua Cawangan KPDN Sibu, Roslee Masli dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati kapal itu membawa muatan diesel dianggarkan sebanyak 132,000 liter yang disimpan dalam sembilan tangki berasingan.
Nilai keseluruhan diesel yang dirampas dianggarkan berjumlah RM283,800, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal dianggarkan mencecah RM773,600.
Pemeriksaan awal turut mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan bahan api terbabit.

Susulan itu, satu kes dibuka di bawah Ops 555 dan Ops Jeriji mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Bagi syarikat pula, denda maksimum adalah RM2 juta dan boleh meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, KPDN dan PDRM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi termasuk WhatsApp, e-mel dan aplikasi Ez ADU KPDN.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
