‘Op Pancing’ Bersepadu MCMC, PDRM Lumpuhkan Sindiket ‘Fake BTS’

Operasi bersepadu MCMC dan PDRM berjaya memberkas sindiket Fake BTS di ibu negara pada 3 September 2025. Foto MCMC
KUALA LUMPUR, 6 Sep – Kepantasan pihak berkuasa dalam menumpaskan sindiket penipuan termasuk yang beroperasi secara dalam talian sememangnya dipuji pelbagai pihak sama ada dalam dan luar negara.
Biarpun berkorban masa dan tenaga bagi memastikan setiap bukti tidak dapat dipertikai di mahkamah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) nekad menumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu di sebuah premis di ibu negara.

Difahamkan sindiket berkenaan menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) menerusi operasi bersepadu ‘Op Pancing’ sehingga dua serbuan berasingan beroleh kejayaan membanggakan.
“Ini merupakan kejayaan semua pihak sama ada MCMC dan PDRM berkoloborasi mematahkan satu lagi sindiket berbahaya yang mampu memusnahkan integriti ekosistem dalam talian negara.

“Kejayaan sebesar ini wajar dijadikan azimat untuk terus giat menggempur kewujudan sindiket seumpamanya bagi memastikan perlindungan data dan pertahanan digital negara diperkukuh dalam keadaan kita ‘diserang’ pihak luar yang ingin merosakaan ekonomi negara,” ujar seorang penganalisis, Muhammad Afif Abdul Rashid.
Terdahulu, MCMC dalam kenyataan hari ini mengumumkan hasil daripada kejayaan risikan dan aduan awam membawa kepada penahanan seorang individu yang mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat beli-belah utama di ibu negara.

“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif, dan ujian frekuensi mengesahkan ia digunakan untuk menghantar SMS palsu mengandungi pautan phishing serta mesej berunsur perjudian kepada orang awam,” menurut kenyataan itu.
Hasil kejayaan berkenaan, MCMC dengan komitmen penuh PDRM menyerbu satu lagi ‘port’ menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam yang dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta peralatan komunikasi berkaitan Fake BTS.

Serbuan berkenaan berjaya merampas sebanyak 45 barangan bernilai kira-kira RM100,000 manakala seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Kedua-dua serbuan disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kejayaan ini sekali gus menyelamatkan puluhan ribu pengguna yang terdedah kepada operasi haram itu serta memastikan sindiket seumpamanya berjaya ditumpaskan dari semasa ke semasa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
