PM Anwar Komited Malaysia Teruskan Peranan Amankan Sempadan Thailand-Kemboja

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Majlis Daerah Baling pada 6 September 2025. Foto PACU
BALING, 6 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan keamanan dapat dicapai di sepanjang kawasan sempadan Thailand-Kemboja, sekali gus menjamin kestabilan rantau ASEAN.
Perdana Menteri berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 komited mahu melihat keadaan kembali tenang antara kedua negara terbabit yang terbabit dalam konflik sebelum ini.
Katanya, disebabkan itu Malaysia masih bertanggungjawab dan mengambil tahu mengenai apa yang terjadi di sempadan Thailand-Kemboja sehingga hari ini.

“Dahulu semasa saya mula mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN, saya katakan ASEAN termasuk Malaysia dan negara ASEAN lain adalah rantau paling aman di dunia, tapi hari ini sudah gawat sedikit.
“Ya masih aman tiada peperangan, tapi ada sedikit keadaan (di sempadan Thailand-Kemboja) tapi masih terkawal dan rakan-rakan ASEAN berpakat sehingga Thailand dan Kemboja setuju berdamai,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata, keadaan di kawasan sempadan Thailand-Kemboja ketika ini adalah terkawal dengan Malaysia melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memantau keadaan semasa.
Katanya, peranan itu akan diteruskan dengan bantuan ATM dan Kementerian Luar kerana Malaysia diberi mandat bagi memastikan keamanan dicapai antara dua negara terbabit.
“Pagi semalam masih ada laporan kerana ada satu kes tembakan di sempadan (Thailand-Kemboja), ia tak perlu banyak ada seorang mula tembak, keadaan boleh ‘meletup’ balik di sana.

“Segera Kementerian Luar dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) terus hubungi tanya keadaan di sempadan dan penjelasannya ada salah seorang tertembak dan dia minta maaf, nasib baik tidak ada kecederaan parah,” katanya.
Julai lalu, keadaan di sempadan Thailand dan Kemboja dilaporkan tegang apabila tentera melepaskan tembakan di kawasan pertikaian dengan kerajaan kedua negara saling menuduh sebagai pencetus kepada konflik.
Bagaimanapun, Anwar mengumumkan kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata apabila Malaysia campur tangan bagi membolehkan rundingan dilaksana.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
