Op Mabuk: Kerani Wanita Ditahan Disyaki Memandu Bawah Pengaruh Alkohol

Seorang kerani wanita dibawa ke IPD Tawau bagi menjalani pemeriksaan lanjut selepas ditahan di Jalan Sim Hwa Seng dan Jalan St. Patrick, pada 25 April 2026. Foto Polis Daerah Tawau
TAWAU, 26 Apr – Seorang kerani wanita antara individu ditahan dalam Op Mabuk di sekitar bandar Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Tawau bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi melibatkan seorang pegawai dan sembilan anggota di Jalan Sim Hwa Seng dan Jalan St. Patrick, Tawau.
“Operasi ini adalah tindakan berterusan PDRM dalam membanteras pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi tersebut sebanyak 48 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa manakala 50 individu turut disaring.
“Daripada jumlah itu, sebanyak enam keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.
Menurutnya, dalam operasi itu seorang pemandu wanita tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas ujian awal menggunakan alat saringan alkohol pernafasan SD2+ (Screening Device 2 Plus) di lokasi operasi.
Katanya, susulan itu suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Tawau untuk ujian pengesahan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II) yang merekodkan bacaan melebihi had dibenarkan.

Menurutnya, suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan kenderaan yang dipandu turut disita.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di bawah Op Mentor Aduan dan pemantauan aktiviti merempit di kawasan One Arena, Kubota pihak polis turut menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun kerana menunggang motosikal tanpa lesen, selain cukai jalan (LKM) dan insurans kenderaan telah tamat tempoh.
Menurutnya, suspek telah dikeluarkan notis saman dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Dalam operasi sama, sebanyak tiga buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“PDRM menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang, khususnya kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak sama sekali memandu selepas mengambil minuman beralkohol demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – Polis Daerah Tawau
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
