Negeri Sembilan Rancang Wujud Biasiswa Khas Pelajar Di Timur Tengah

SEREMBAN, 4 Jul – Kebajikan para pelajar yang masih menuntut dalam pengajian masing-masing termasuk yang menimba ilmu di luar negara sentiasa menjadi keutamaan pemimpin berjiwa rakyat seperti Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun.
Hasrat itu disuarakan sendiri Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang menjelaskan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang mewujudkan satu biasiswa kepada pelajar yang menuntut di Mesir, Jordan dan Maghribi.

Ini ditambah pula dengan peningkatan hasil kutipan zakat di negeri ini yang semakin meningkat setiap tahun.
Difahamkan biasiswa berkenaan akan dibiayai menerusi peningkatan kutipan zakat daripada RM144.1 juta pada tahun 2020 kepada RM147 juta tahun lalu yang diterima dari pelbagai pihak hasil kesedaran akan kepentingan menunaikan salah satu rukun dalam agama Islam itu.
Dalam siri lawatan ke beberapa negara di Timur Tengah baru-baru ini, beliau merasakan telah sampai masanya para pelajar yang layak memperolehi biasiswa berkenaan.

“Pada tahun 2020, kutipan zakat berjumlah RM144.1 juta dan pada tahun 2021 kita mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM147 juta.
“Hasil daripada kutipan zakat ini, MAINS akan menyalurkan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau merasa amat sedih dengan kesusahan yang dialami ibu bapa setiap kali anak-anak mereka berjaya melanjutkan pengajian di luar negara, tetapi terpaksa meminjam daripada pelbagai pihak walaupun memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Namun dengan perkembangan terbaharu memungkinkan para pelajar memperolehi peluang mendapat biasiswa dan beliau amat berharap agar usaha ini mendapat sokongan padu daripada masyarakat di negeri ini.

“Sebelum ini, pelajar perlu membuat pinjaman untuk sambung belajar di Mesir, Jordan dan Maghribi.
“Ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk anak-anak Negeri Sembilan.
“Saya berharap usaha ini mendapat sokongan masyarakat Negeri Sembilan,” tambah beliau.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
