Najib Gagal Gugurkan Tiga Tuduhan Pengubahan Wang Haram SRC International

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sidang media selepas sesi perbicaraan rayuan terakhir membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada 18 Ogos 2022.
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal menggugurkan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar Najib pada 31 Julai 2023.
Ashrof Adrin berkata, dengan keputusan itu, pendakwaan akan meneruskan dengan perbicaraan kes berkenaan.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 71, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan terbabit adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun belum pasti sama ada Najib akan bersedia berhadapan dengan perbicaraan yang akan berlangsunh tidak lama lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

