Najib Bohong, Fitnah Pakatan Harapan – Zaidi Ahmad

PEKAN, 19 Jul – Ketua Cabang KEADILAN Pekan, Zaidi Ahmad meminta pihak berkuasa agar segera menyiasat bekas Perdana Menteri, Najib Razak berhubung isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang disifatkan sebagai berbohong kepada rakyat Malaysia dengan menuduh dan memfitnah Kerajaan Pakatan Harapan terkait isu saman terhadap Petronas.

Beliau yang juga aktivis KEADILAN Pahang berkata, Najib tidak sepatutnya lari daripada isu ini kerana ia turut melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

“Laporan ini dibuat bagi menggesa pihak polis menjalankan satu siasatan telus dan terbuka ke atas Dato Seri Najib kerana beliau telah didapati berbohong kepada rakyat Malaysia dengan menuduh dan memfitnah Kerajaan Pakatan Harapan terkait isu saman terhadap Petronas oleh waris Kesultanan Sulu,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini pada Selasa.

Tambahnya, Najib didapati cuai dalam menjalankan tugasnya selaku Perdana Menteri waktu itu, iaitu selaku penjawat awam gagal memastikan semua langkah diambil untuk menghalang tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan, sehingga menyebabkan negara berdepan dengan kerugian sekitar RM67.5 billion ekoran tuntutan saman tersebut.

Ujar beliau lagi, Najib, selaku orang yang sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan hukuman oleh Mahkamah Rayuan tidak seharusnya dibiarkan bebas ke sana sini menipu rakyat Malaysia.

“Kerosakan sistem ekonomi dan kewangan negara yang beliau dan pentadbiran beliau lakukan memberi kesan besar kepada negara dan kehidupan rakyat,” tambahnya.


Berikut merupakan kenyataan media penuh beliau mewakili kepimpinan KEADILAN Cabang berkenaan.

– – – – – –

KEADILAN CABANG PEKAN
19 Julai 2022

KENYATAAN MEDIA: LAPORAN POLIS TERHADAP DATO SERI NAJIB RAZAK DI ATAS PEMBOHONGAN BELIAU KE ATAS RAKYAT MALAYSIA BERKAITAN ISU WARIS KESULTANAN SULU SAMAN PETRONAS

1. Hari ini 19 Julai 2022 sekitar jam 5.30 petang saya selaku Ketua KEADILAN Cabang Pekan telah membuat satu laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pekan yang juga mantan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di IPD Pekan.

2. Laporan tersebut dibuat bagi menggesa pihak polis menjalankan satu siasatan telus dan terbuka ke atas Dato Seri Najib kerana beliau telah didapati berbohong kepada rakyat Malaysia dengan menuduh dan memfitnah Kerajaan Pakatan Harapan terkait isu saman terhadap Petronas oleh waris Kesultanan Sulu.


3. Fakta sebenar ialah tuntutan ini bermula disebabkan pentadbiran Dato Seri Najib, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, telah menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu pada tahun 2013.

4. Dato Seri Najib didapati cuai dalam menjalankan tugasnya selaku Perdana Menteri waktu itu, iaitu selaku penjawat awam gagal memastikan semua langkah diambil untuk menghalang tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan, sehingga menyebabkan negara berdepan dengan kerugian sekitar RM67.5 billion ekoran tuntutan saman tersebut.

5. Fakta kedua ialah notis tuntutan saman itu telah dihantar oleh peguam waris Kesultanan Sulu pada 2 November 2017 juga sewaktu Dato Seri Najib masih memegang jawatan Perdana Menteri. Oleh yang demikian, tindakan Najib menuding jari kepada Kerajaan Pakatan Harapan adalah satu pembohongan besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

6. Laporan polis ini juga menuntut pihak polis menjalankan siasatan terhadap Najib di bawah peruntukan Kanun Jenayah (Akta 574) dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A 395) untuk menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan oleh Najib dalam menangani isu ini.

7. Najib, selaku orang yang sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan hukuman oleh Mahkamah Rayuan tidak seharusnya dibiarkan bebas ke sana sini menipu rakyat Malaysia. Kerosakan sistem ekonomi dan kewangan negara yang beliau dan pentadbiran beliau lakukan memberi kesan besar kepada negara dan kehidupan rakyat.

ZAIDI AHMAD
Ketua Cabang
KEADILAN Pekan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *