Gadai Kedaulatan Negara, Najib Mesti Disiasat Segera – Ahli MPP KEADILAN

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Menyedari isu tuntutan waris Kesultanan Sulu kini hangat diperkatakan hingga disifatkan telah menggadai kedaulatan negara, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Raiyan Abdul Rahim tampil membuat laporan polis bersama-sama kepimpinan KEADILAN Cabang Cheras dan KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak di sini pada Selasa.
Menurut Raiyan, beliau bersama-sama pimpinan serta aktivis KEADILAN Cabang berkenaan membuat polis terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir di IPD berkenaan bersama beliau ialah Ketua Cabang KEADILAN Cheras, Mohammad Raimi Abdul Rahim; Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak, Jaapar Ismail serta beberapa wakil Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan serta penyokong Pakatan Harapan (PH).

“Saya mewakili rakan-rakan pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan merasa amat kesal dan terpanggil membuat laporan polis terhadap Najib yang percaya Najib didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan negara berdepan tuntutan kira-kira RM67.5 bilion daripada waris keturunan Sulu di Filipina,” ujarnya.
“Laporan polis ini tidak lain meminta pihak berkuasa menyiasat segera kecuaian Najib dalam isu penyelesaian tuntutan waris Kesultanan Sulu yang kini sudah menampakkan kesan negatif susulan dua aset milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Azerbaijan disita dan diambil alih.
“Kami mewakili rakyat Malaysia di luar sana memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan segera kerana tidak mahu lebih banyak aset negara diambil sedemikian rupa,” tambah Raiyan dan disokong aktivis yang hadir.

Malah EXCO Wanita KEADILAN pusat dari Sabah, Siti Norffinie Yasin yang hadir turut membuat laporan serupa di IPD berkenaan kerana merasakan kepentingan rakyat Sabah mesti dipelihara dan dipertahankan demi menjaga maruah negara.
Dorongan mereka timbul apabila pada Isnin, Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa semua pimpinan dan 222 cabang parti di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri itu sehingga membawa tuntutan waris kesultanan Sulu baru-baru ini.
Tambah Raiyan, undang-undang negara memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang cuai dalam menjalankan tugas awam semasa mereka menjawat jawatan awam.
Jaapar turut senada dengan Raiyan sambil menyeru agar seluruh rakyat yang cintakan negara mendesak pihak berkuasa mengutamakan siasatan ke atas Najib kerana isu ini telah membuat rakyat marah selain terus terkesan perihal kos sara hidup yang makin tinggi.
