Nahas Bas UPSI: PM Anwar Umum Bantuan Tambahan RM10,000, RM5,000

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan bantuan kepada waris mangsa nahas bas UPSI pada 11 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang terkorban dalam tragedi nahas bas di Gerik, kelmarin.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, bantuan berjumlah RM5,000 pula akan disalurkan kepada mangsa yang cedera.
“Semoga keluarga dan mangsa yang terkesan dalam insiden yang menyayat hati ini diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.

Pada Isnin, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyelaras bantuan awal bagi mangsa-mangsa nahas yang berlaku pada jam 1 pagi itu.
Terdahulu, seramai 13 daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, baru-baru ini dikenal pasti sebagai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kesemua 13 pelajar berkenaan menerima manfaat penyelesaian penuh pinjaman melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok PTPTN.

“Kesemua 13 pelajar tersebut mendapat manfaat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman mereka melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
“Selain itu, kesemua 13 waris juga akan menerima khairat kematian berjumlah RM1,500.00 bagi setiap pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut, manakala tujuh lagi cedera parah apabila bas yang membawa mereka terlibat dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
