Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Data Telefon Bimbit (MPD)?

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bergabung tenaga bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menambah baik ekosistem dan kualiti liputan telekomunikasi menerusi bancian dalam program MPD.

PENDAPAT, 11 Jun – Para pengguna di negara ini tidak perlu terpengaruh atau mendengar maklumat tidak sahih berkenaan inisiatif Data Mudah Alih (MPD) yang hangat diperkatakan di media sosial.

Ini kerana mana-mana negara di dunia ini mengamalkan protokol standard yang dikeluarkan Pertubuhan Telekomunikasi Dunia (ITU), sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelaras kesemua indeks standard berkenaan telekomunikasi dan merangka pelan lebih baik bagi meningkatkan kesaling hubungan antara negara, negeri dan daerah di sesebuah negara.

Buktinya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hanya memohon lapan parameter daripada syarikat telekomunikasi tanpa melibatkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan atau nombor telefon yang telah dinyahidentiti dan tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu pada mana-mana masa.

Menurut Ketua Penyelidik Dasar, Institut Kajian Dasar (IKD), Mohd Yusmadi Yusof berpandangan pengguna tidak perlu sangsi dengan inisiatif yang dilaksanakan MCMC kerana ia memberi manfaat dari segi pelan peningkatan mutu perkhidmatan selular yang dianalisa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Keadaan sekarang berubah, data yang dikumpul dan dianalisis DOSM bersifat pembancian kepada ekosistem telekomunikasi negara kerana belum pernah dalam sejarah negara, banci komprehensif ini dilaksanakan sedangkan negara-negara maju seperti Korea Selatan menggunakannya bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat mereka.

“Lagipun jaminan yang diberikan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pihak berkuasa sudah pasti memenuhi syarat-syarat yang terkandung dalam mana-mana perundangan sedia ada.

“Justeru, saya menyokong penuh ‘banci telco’ yang sedang dilaksanakan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta memperkukuh ekosistem rangkaian telco negara,” jelasnya.

Terdahulu MCMC berkata, data yang dikumpul tanpa maklumat peribadi (dinyahidentiti) itu akan digunakan oleh DOSM sehingga 2026 bagi melihat keberkesanan pelaksanaannya berdasarkan parameter tertentu yang telah ditetapkan.

Antara parameter yang ditetapkan ialah pengecam pelanggan yang telah dianonimkan, tarikh dan masa transaksi, ID unik, koordinat struktur atau menara pemancar, jenis data sama ada Call Detail Record (CDR) atau Packet Data Record (PDR), jenis rangkaian (2G, 3G, 4G, 5G) dan pengecam negara.

Berikut merupakan soalan lazim dan jawapan berkenaan isu di atas:

———————

SOALAN-SOALAN LAZIM – INISIATIF MOBILE PHONE DATA (MPD)

1. Apa itu Projek MPD?

Projek MPD ialah inisiatif kerajaan untuk guna data pergerakan rakyat yang telah dianonimkan (tiada maklumat peribadi) daripada telefon bimbit bagi bantu merancang perkhidmatan awam seperti jalan raya, pengangkutan awam, kawasan pelancongan, atau semasa bencana.

Contoh: Jika ramai pengguna dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, data ini boleh bantu kerajaan tambah bas ekspres atau naik taraf jalan utama.

2. Data apa yang digunakan?

Ia guna data lokasi dari telefon bimbit bila berhubung dengan menara telekomunikasi. Tapi data ini tidak ada nama, nombor telefon atau IC. Ia dirahsiakan dan digabungkan secara umum supaya tak boleh dikesan semula kepada sesiapa.

Contoh: Sistem hanya tahu “5000 telefon bergerak dari Seremban ke Nilai”, tapi tak tahu siapa pemiliknya.

3. Adakah data peribadi saya diambil?

Tidak. MPD tidak ambil nama, nombor telefon, lokasi spesifik anda atau apa-apa maklumat peribadi. Semua data diproses secara keseluruhan dan tanpa identiti.

Contoh: Macam bancian kedai; kita tahu 80 orang datang kedai semalam, tapi tak tahu siapa mereka.

4. MPD ini menjejak orang ke?

Tidak. MPD bukan alat penjejak. Ia hanya melihat trend pergerakan umum, bukan individu.

Contoh salah faham: “Kerajaan tahu saya ke mana tiap hari.”

Fakta sebenar: Tidak. Kerajaan hanya tahu secara statistik seperti 10,000 orang masuk Langkawi minggu lepas”.

5. Siapa boleh tengok data ini?

Hanya pegawai yang diberi kuasa di MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Ia tidak dikongsi dengan syarikat swasta atau pihak luar.

Contoh: Syarikat e-dagang, pengiklan, atau aplikasi sosial tidak boleh akses data ini.

6. Apa berlaku selepas data digunakan?

Data dipadam atau disimpan secara selamat mengikut peraturan ketat. Tiada simpanan kekal tanpa justifikasi.

Contoh: Lepas data guna untuk kaji kesesakan musim cuti sekolah, ia akan dipadam ikut garis panduan.

7. Macam mana MCMC jaga privasi data?

MCMC ikut undang-undang dan protokol keselamatan termasuk:

a) Data tanpa identiti
b) Akses terhad
c) Tiada simpanan sewenang-wenangnya
d) Audit berkala

Contoh: Sama macam sistem undi pilihan raya – jumlah dikira, tapi identiti pengundi rahsia.

8. Projek ni ikut standard siapa?

Projek ikut garis panduan dari ITU (Pertubuhan Telekomunikasi Dunia), GSMA dan Dasar Keselamatan ICT negara.

Contoh: ITU adalah badan PBB, sama seperti WHO untuk kesihatan, ITU untuk teknologi.

9. Apa peranan ITU dalam projek ni?

ITU beri bimbingan teknikal, struktur data dan semakan standard antarabangsa.

Contoh: ITU bantu pastikan sistem kita selamat dan setanding negara maju seperti Korea Selatan atau Perancis.

10. Negara lain pun buat benda yang sama ke?

Ya. Negara seperti Sepanyol, Brazil, Indonesia dan Perancis guna data telefon untuk perancangan.

Contoh: Sepanyol guna data semasa COVID-19 untuk lihat kawasan mana paling aktif dan perlu lockdown.

11. Macam mana data diproses?

Data diproses oleh syarikat telekomunikasi guna skrip MCMC. MCMC hanya terima data yang sudah dianonim dan diagregat.

Contoh: MCMC tak tengok data mentah pelanggan. Cuma terima “peta panas” pergerakan tanpa identiti.

12. Ada audit atau pemantauan tak untuk elak salah guna?

Ya. Semua proses diaudit. Data asal kekal di syarikat telko dan tak dikongsi.

Contoh: Macam CCTV, hanya pengawal yang diberi akses boleh tengok, dan ada audit siapa tengok apa.

13. Adakah keizinan pengguna diperlukan?

Tidak perlu sebab data tak kenal pasti sesiapa. Sama macam bancian atau statistik trafik jalan raya.

Contoh: Kita tak perlu izin setiap pemandu untuk kira jumlah kereta guna lebuhraya setiap hari.

14. Kenapa rakyat tahu dari media luar, bukan dari kerajaan?

Beberapa laporan media luar tidak tepat dan mengelirukan. MCMC dan syarikat telekomunikasi telah jelaskan bahawaprojek ini bukan untuk jejak individu, tapi untuk perancangan pembangunan negara.

Contoh salah faham: “Kerajaan nak intip rakyat.”

Fakta sebenar: Ini macam kajian pelancong masuk Sabah – bukan tahu siapa, tapi tahu berapa ramai.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *