’Mohon Maaf Jadi Peringatan, Pengajaran Buat Pemimpin Bukan Islam’ – Abul Jais

Ketua Cabang KEADILAN Beruas Abul Jais Ashfaq Ahmed menasihatkan Ngeh dan pemimpin bukan Islam agar tidak mencampuri hal ehwal agama Islam. Foto Arkib

LUMUT, 30 Dis – Permohonan maaf yang dibuat Ahli Parlimen Beruas daripada DAP, Ngeh Koo Ham serta menarik balik saranannya supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam, menjadi pengajaran dan peringatan kepada pemimpin bukan Islam lain.

Sambil menyifatkan isitilah ‘jangan jolok sarang tebuan’ kena pada tempatnya, Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed meminta ‘kekhilafan’ Ngeh wajar dijadikan pengajaran berguna agar tidak sesekali mencampuri hal ehwal agama Islam hingga mencetuskan polemik tidak perlu.

Stunt politik sebegini hanya akan mengeruhkan keadaan ditambah lagi titah Sultan Selangor yang murka dengan kenyataan Ngeh walau atas alasan apa sekalipun.

”Teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua kerajaan juga jelas memberi garis panduan bagaimana sesuatu isu diselesaikan menerusi saluran dalaman dan tidak pergi terus kepada media hingga menyebabkan kerajaan menjadi sasaran kritikan,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Cabang KEADILAN Beruas Abul Jais Ashfaq Ahmed menasihatkan Ngeh dan pemimpin bukan Islam agar tidak mencampuri hal ehwal agama Islam. Foto Arkib

Abul Jais turut menasihatkan mana-mana pemimpin bukan Islam lain agar mengambil iktibar dan menghormati kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam negeri-negeri tidak mempunyai sultan.

“Saya menasihatkan agar berhati-hati menyentuh isu sensitif seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan bagi menjaga keharmonian dan keamanan negara,” tambahnya.

Terdahulu dalam kenyataan, wakil rakyat DAP itu menjelaskan beliau ‘tidak mempunyai niat’ untuk mencampuri hal ehwal Islam dan hanya membuat saranan berkenaan supaya semua pandangan diambil sebelum sebarang perlembagaan dipinda.

“Sekarang sudah jelas jawatankuasa khas itu ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia diketuai Sultan Selangor yang tidak saya sedari sebelum ini.

“Saya dengan ini menarik semula cadangan tersebut dan membuat permohonan maaf…saya tiada niat untuk mencampuri urusan hal ehwal agama Islam,” kata Ngeh yang juga penasihat DAP Perak.

Ngeh menerima kecaman termasuk daripada UMNO dan parti politik pembangkang yang mula ‘menangguk di air keruh’ ekoran penularan isu berkenaan di media sosial sejak Khamis lalu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *