Parti Kerajaan Perpaduan Wangsa Maju Terus Mendokong Kepimpinan PM Anwar – Andre Lai

Ketua-ketua parti komponen Kerajaan Perpaduan hadir pada perjumpaan sempena ulang tahun pertama yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju pada Jumaat. Turut kelihatan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju Andre Lai (tengah).

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Wangsa Maju sebulat suara menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Kerajaan Perpaduan.

Ini dinyatakan bersama susulan perjumpaan ulang tahun pertama penubuhan Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju pada Jumaat.

Jelas Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai, kesemua ketua-ketua parti iaitu UMNO yang diwakili Ketua Bahagian Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, Ketua AMANAH Kawasan Datuk Sabtu Awab, serta wakil kepada Pengerusi MCA Wangsa Maju Datuk Ng How Doo dan Pengerusi MIC Wangsa Maju M. Ramachandran hadir pada perjumpaan itu.

Datuk Seri Dr Mohd Shafei bertindak selaku ketua bagi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam perjumpaan itu manakala Andre dan Datuk Sabtu pula mewakili komponen Pakatan Harapan (PH).

Ketua-ketua parti komponen Kerajaan Perpaduan hadir pada perjumpaan sempena ulang tahun pertama yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju pada Jumaat. Turut kelihatan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju Andre Lai (tengah).

“Susulan perjumpaan ulangtahun setahun penubuhan kerajaan Malaysia Madani, hari ini kami dari kalangan ketua-ketua parti Kerajaan Perpaduan telah membuat kunjungan rasmi kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

“Selain daripada saya sendiri sebagai Ketua Cabang KEADILAN, terima kasih kepada pihak Datuk Seri Shafei (UMNO), Datuk Sabtu (AMANAH) Datuk Ng How Doo (MCA) dan Tuan Ramachandran (MIC) sudi membuat langkah pertama bagi mengeratkan lagi hubungan antara komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan,” ujar Andre menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambah Andre, perjumpaan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim dan persefahaman antara ketua-ketua parti politik PH dan BN di peringkat parlimen Wangsa Maju.

Ketua parti-parti komponen BN daripada UMNO, MCA dan Timbalan Pengerusi MIC Wangsa Maju hadir pada perjumpaan bersama ketua-ketua parti Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk meleraikan beberapa masalah berbangkit, antaranya adalah cabaran kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk melibatkan pemimpin komuniti setempat daripada komponen parti kerajaan serta lantikan baharu pada Mei 2024.

“Kami juga berbincang isu fiasko Kampung Setia Jaya serta isu-isu hal ehwal semasa. Saluran terbuka sebegini harus dipraktikkan untuk melancarkan pentadbiran Kerajaan Malaysia Madani di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Satu perbincangan hari ini membuahkan hasil. Semoga komunikasi proaktif ini dapat diteruskan dari masa ke semasa untuk memantapkan lagi jaringan bersepadu parti-parti Kerajaan Perpaduan di Wangsa Maju!,” ujarnya lagi.

Perbincangan secara serius itu juga berjaya merungkai beberapa permasalahan semasa dan menjalin persefahaman antara kedua-dua parti gabungan PH dan BN.

Untuk rekod, PH dan BN membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti Warisan selepas PRU-15 atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November tahun lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *