MOF Akan Sekat MyKad, Tarik Kelayakan Individu Salah Guna BUDI95

Tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di sebuah stesen minyak.
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kementerian Kewangan (MOF) akan mengambil tindakan tegas dengan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi penyalahgunaan subsidi bahan api, selain melucutkan kelayakan pemilik kenderaan terbabit daripada terus menikmati manfaat Program BUDI95.
Tindakan itu susulan penularan satu video di media sosial yang memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di sebuah stesen minyak.
MOF dalam kenyataan memaklumkan, hasil siasatan mendapati individu terbabit adalah warga tempatan serta pemegang MyKad.

“Perbuatan itu jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan ini berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar serta berkesan.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Kerajaan amat menghargai rakyat yang cakna dan menyalurkan aduan berhubung isu berkenaan.
“Orang ramai dialu-alukan untuk terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyaluran subsidi melalui Pusat Khidmat BUDI MADANI di talian 1300-88-9595 atau +603-2631 4595, selain emel kepada budimadani@treasury.gov.my,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

