Miliki Diesel Tanpa Lesen, Lima ‘Sekawan’ Didakwa

Lima rakan sekerja didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan memiliki barang kawalan berjadual tanpa lesen tahun lalu. Foto Norafiza Jaafar
SEREMBAN, 4 Sep – Ekoran didakwa memiliki barangan kawalan berjadual iaitu 20,250 liter minyak diesel secara runcit tanpa lesen sah tahun lalu, lima rakan sekerja didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
S.Rajakumar, 35, V.Maran, 23, E.Kunaal, 23, R.Poobalan, 44 dan S.Kalitha, 31, selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Rajakumar berdepan dua pertuduhan, manakala empat lagi OKS masing-masing menghadapi satu pertuduhan.

Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka secara bersama-sama didapati ada dalam jagaan diesel sebanyak 955 liter dalam tangki simpanan pukal (IBC), manakala 15,871 liter dan 3,424 liter dalam dua lori tangki.
Kesalahan itu dilakukan pukul 4.30 petang, 20 Februari 2024 di sebuah premis di Mukim Labu, di sini.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan RM10,000, namun OKS merayu jumlah itu dikurangkan kerana berpendapatan rendah selain ada yang tidak bekerja dan menanggung ahli keluarga.
Mahkamah membenarkan OKS dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
