MIC Setuju Turun Kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu – Presiden

Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran mengumumkan bahawa MIC akan turun membantu kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu bagi calon Kerajaan Perpaduan. Foto Facebook MIC
KUALA KUBU BAHARU, 24 Apr – Keputusan MIC turun padang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu demi kebajikan kaum India.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata penyertaan dalam kempen PRK membolehkan parti itu mengetengah isu dihadapi oleh kaum India di Hulu Selangor, khususnya di DUN berkenaan.
“Ramai orang telefon saya. Tan Sri cakap tidak mahu sokong tetapi tiba-tiba mahu turun padang untuk berkempen.
“Selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MIC, saya memaklumkan MIC tidak akan turun berkempen sehingga mendapat panggilan telefon daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Ahli Majlis Tertinggi MIC juga telah membuat keputusan akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Bilik Gerakan MIC PRK DUN Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.
Terdahulu Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata MIC akan turun padang dan berkempen membantu calon kerajaan perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Katanya, laporan mendakwa MIC tidak akan beri kerjasama di PRK itu jika ditandingi calon bukan daripada Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat.
“Presiden MIC (SA Vigneswaran) hubungi saya, dia kata akan tolong di Kuala Kubu Baharu.
“Vigneswaran sebut, tak betul laporan kata takkan beri kerjasama,” katanya kepada media dalam Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.

Susulan itu, pengumuman Vigneswaran itu turut dihadiri Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan dan Datuk T Murugiah serta Datuk Kohilan Pilay dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini, manakala Sabtu ini hari penamaan calon.
Vigneswaran berkata, keputusan untuk turun berkempen calon Kerajaan Perpaduan juga diambil selepas menerima pandangan daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).
“Pilihan raya ini tidak akan mengubah dua perkara penting, iaitu pertama, kedudukan Perdana Menteri tidak akan tergugat. Kedua, walaupun kerusi ini kita kalah, ini tidak akan menukar kerajaan negeri.
“Jadi apa yang akan tukar? Yang akan tukar ialah persepsi kerajaan negeri dan persepsi Kerajaan Perpaduan kepada kaum India,” katanya.
Beliau berkata, Anwar berjanji menyelesaikan masalah kaum India dan jika kerusi DUN berkenaan dimenangi parti Kerajaan Perpaduan, sudah tentu akan memberi kesan positif dalam menyelesaikan masalah kaum India.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
