Jenazah Wira-Wira Negara Dibawa Pulang Untuk Disemadikan

Jenazah anggota Islam disolatkan di Kem Gua Permai, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja di Ipoh. Foto ihsan BH
IPOH, 24 Apr – Lapan van jenazah membawa mangsa nahas dua helikopter di Lumut, keluar dari Kem Gua Permai, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) di Jalan Tambun, di sini, kira-kira jam 6 petang selepas solat jenazah.
Lapan jenazah beragama Islam itu dibawa masuk ke kem kira-kira jam 4.55 petang untuk disolatkan sebelum keluar secara berasingan untuk dibawa pulang ke kampung bagi dikebumikan.
Waris lapan mangsa itu dibenarkan masuk bagi menyambut ketibaan jenazah di kem berkenaan selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.
Terdahulu, semua 10 jenazah mangsa nahas itu dibawa dari Jabatan Forensik itu dengan kenderaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 4.35 petang.

Lapan jenazah Islam ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad; Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi; dan Pegawai Waran II TNL Nurfarahimi Mohd Suady.
Selain itu, turut dibawa ke situ ialah Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; dan Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin.
Dua jenazah bukan Islam terus dibawa pulang selepas bertolak dari jabatan forensik berkenaan.

Jenazah mendiang Leftenan Sivasutan Thanjappan dibawa ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok, manakala jenazah mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna dibawa pulang ke Serian, Sarawak menggunakan pesawat C-130 milik TUDM.
TLDM berkata, proses bedah siasat 10 mangsa nahas helikopter itu selesai jam 2.20 petang tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
