Merdeka 68: Ucapan Tahniah AS Iktiraf Peranan Malaysia Kuasa Pendamai Antarabangsa – Penganalisis

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio memuji pendekatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara dengan Washington menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand di Putrajaya pada 28 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 1 Sep – Ucapan tahniah daripada Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 negara pada 31 Ogos lalu menggambarkan kepentingan dan peranan Malaysia dalam menjadi negara contoh kepada perpaduan dan perdamaian serantau termasuk di peringkat global.
Mengulas mengenai ucapan tahniah itu, penganalisis politik melihat Malaysia bukan sahaja menjadi negara dagang utama AS malah lebih berperanan sebagai kuasa pendamai dan pengantara moderat yang tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar dunia.
“Kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam mengusahakan perdamaian antara Thailand dan Kemboja serta berperanan memastikan kestabilan serantau termasuk berunding dengan junta Myanmar, membuka mata AS untuk mengiktiraf peranan serta usaha diplomasi Malaysia secara tertib dan berhemah.

“Saya juga menyifatkan ucapan tahniah daripada Washington itu sesuatu yang amat signifikan terhadap kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 yang membawa kepada kesejahteraan dan mengajak dunia menghindari konflik bersenjata dengan mengadakan perbincangan di meja rundingan, bukan di medan pertempuran,” kata Abul Jais Ashfaq Ahmed.
Beliau turut mengingatkan AS terutama Presiden Donald Trump supaya menghentikan peperangan di Gaza dan menggesa agar lebih tegas dengan Israel tanpa memberi peluang kepada rejim itu memusnahkan tamadun manusia di sana.
Terdahulu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata AS dan Malaysia menikmati hubungan kerjasama yang kukuh dan berpanjangan sejak beberapa dekad lalu, berteraskan nilai keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

Beliau juga berkata bahawa kerjasama itu turut terserlah melalui usaha bersama baru-baru ini bagi memastikan gencatan senjata berkekalan antara Thailand dan Kemboja, sambil menyatakan keyakinan hubungan dua hala akan terus diperkukuh pada masa depan.
“Bagi pihak Amerika Syarikat, saya menyampaikan ucapan tahniah yang tulus ikhlas kepada rakyat Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 Malaysia pada 31 Ogos.
“AS dan Malaysia telah menikmati kerjasama erat dan berpanjangan selama beberapa dekad, berasaskan visi bersama untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran, seperti yang terbukti melalui kerjasama terkini dalam memastikan gencatan senjata berkekalan bagi Thailand dan Kemboja.

“Saya berharap hubungan dua hala dapat diperkukuh ketika kita merangka masa depan yang lebih cerah untuk kedua-dua negara.
“Dengan ucapan tahniah dari AS ketika anda meraikan pencapaian ini, saya mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia melalui tahun mendatang dengan penuh kemakmuran,” kata Rubio.
Untuk rekod, Rubio mengadakan lawatan ke Malaysia pada Julai lalu bagi menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan ASEAN, termasuk Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF).

Dalam lawatan itu, Rubio turut mengadakan perbincangan dengan Anwar selaku Pengerusi ASEAN semasa serta rakan sejawat serantau, dengan perbincangan turut tertumpu kepada pengukuhan kerjasama Indo-Pasifik dan peningkatan kolaborasi ekonomi dan pertahanan bagi menjamin kestabilan serantau.
Kedudukan strategik Malaysia termasuk memiliki kestabilan politik, ekonomi dan hala tuju jelas, membolehkan negara kuasa besar seperti AS, Russia dan China berminat untuk meneliti pendekatan negara dalam menangani isu global seperti perubahan iklim, teknologi baharu dan mengurangkan jurang antara negara kaya dan miskin.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
