Merdeka 68: Tang Jie-Ee Wei JUARA DUNIA BWF 2025 Di Hari Kebangsaan 2025

Kemenangan Tang Jie-Ee Wei memberi hadiah bermakna sempena Hari Kebangsaan 2025 nun jauh di Adidas Arena, Paris pada 31 Ogos 2025.
PARIS, 31 Ogos – Sejarah tercipta di Kejohanan Dunia BWF 2025 apabila kem badminton negara menerusi beregu campuran utama, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, merangkul emas pertama negara dalam acara itu.
Gandingan berstatus keempat dunia itu menewaskan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin, di Adidas Arena, Paris, sebentar tadi dalam tempoh 39 minit.
Lebih manis, kemenangan itu hadir ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-68, sekali gus menjadi hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.
Tang Jie–Ee Wei bermula garang apabila mengawal tempo set pertama, mendahului 11-6 sebelum menamatkan permainan dengan kemenangan 21-15.
Nyata, kebangkitan yang cuba dilakukan beregu China tidak kesampaian susulan banyak melakukan kesilapan teknikal, sekali gus menyuntik semangat Tang Jie–Ee Wei untuk terus mendominasi set kedua dengan kedudukan 11-7.
Bagaimanapun, Jiang–Wei cuba bangkit apabila kedudukan hampir terikat di pertengahan set, namun usaha mereka dipatahkan gandingan digelar The Little Gangsters.
Akhirnya, skuad negara menoktahkan kemenangan dengan catatan 21-14, sekali gus menamatkan kemarau pingat 18 tahun dan menghadiahkan emas pertama beregu campuran di Kejohanan Dunia.
Kali terakhir beregu campuran negara meraih pingat dalam Kejohanan Dunia menerusi Koo Kien Keat–Wong Pei Tty yang membawa pulang gangsa dari Madrid pada 2006.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


