Merdeka 68: PM Anwar Berlepas Ke China Atas Jemputan Presiden Jinping

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kepada rakyat yang membanjiri Dataran Putrajaya sebelum berlepas ke Shanghai atas jemputan Presiden China, Xi Jinping pada 31 Ogos 2025. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Sejurus selesai menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlepas ke China hari ini bagi menghadiri beberapa acara rasmi atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Anwar berlepas dengan pesawat khas jam 11 pagi tadi untuk menghadiri rangka lawatan kerja sehingga 3 September ini, dengan acara utama menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).

“Beliau sudah beberapa kali melawat China, tetapi lawatan kali ini sangat penting kerana kita mahu memperkukuh hubungan dua hala, apatah lagi bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan (Malaysia) dan Hari Nasional (China).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadilah Yusof serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hadir pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025. Foto Bernama

“Saya rasa ini masa yang amat signifikan bagi kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, lawatan itu adalah atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, yang turut menjemput Malaysia menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 kemenangan rakyat China dalam Perang Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Sedunia.

Sebagai Pengerusi ASEAN, penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak itu mencerminkan komitmen negara memperkukuh hubungan ASEAN–SCO, selain mengangkat peranan sebagai pengantara untuk meneroka potensi kerjasama lebih luas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 16 April 2025. Foto Bernama

Selain itu, Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi serta mesyuarat dua hala dengan Premier Li Qiang bagi membincangkan kerjasama bilateral dan bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974 dengan republik itu kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009.

Nilai dagangan Malaysia-China pada 2024 direkodkan berjumlah RM484.12 bilion, iaitu 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *