Merdeka 68: ‘Jemur Baju Pun Terngiang-Ngiang Lagu Siti’

Tangkap layar video TikTok RTM Malaysia memaparkan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Malaysia MADANI Rakyat Disantuni pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya pada 31 Ogos 2025. Foto TikTok RTM Malaysia
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Kelunakan suara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyanyikan lagu ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’ yang diangkat sebagai lagu tema Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya hari ini, membuatkan orang ramai ‘terngiang-ngiang’ hingga terbawa-bawa ketika menjemur kain!
Maklum balas yang diterima daripada pengguna media sosial di TikTok, mereka merasakan lagu tersebut ‘berhantu’ apabila disampaikan oleh Biduanita Negara, malah sering terngiang-ngiang suara beliau sehingga terikut-ikut menyanyi.
“Bila Siti yang nyanyi, auto terikut-ikut lah pula,” kata pengguna TikTok Anishashreen meninggalkan komen pada satu hantaran.

“Waktu jemur kain, boleh pula nyanyi lagu Siti,” komen pengguna TikTok NoName.
“Lagu ni biasa saja, tapi bila Siti yang nyanyi, dia bunyi sedap. Lagu apa sekali pun, Tok Ti yang nyanyi auto jadi sedap,” ujar Eidy9363.
“Lagu sedap dah sebab penyanyi Siti Nurhaliza. Siapa lah tak tertawan dengar,” komen Hanya Untuk Melati.
Netizen bernama JAMBU pula menulis “Korang nak tahu tak . Suara dia live tadi sumpah cakap sama macam recording weh sikit pun tak berubah . Bukan setakat telan album ni telan apa taktahu😢 . Sedap betul dengar . Rasa meremang bila dia sebut ” malaysia kita “.

Terdahulu, penghibur nombor satu negara itu menggegarkan Dataran Putrajaya dengan lantunan suara penuh bertenaga hingga mencetuskan sorakan dan tepukan kira-kira 100,000 hadirin yang membanjiri kawasan sekitar pentas diraja.
Lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan Affan Mazlan mengangkat tema perpaduan, kasih sayang, kebersamaan dan nasionalisme, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan integriti, keadilan sosial dan ihsan dalam kehidupan seharian.
Lirik lagu berkenaan menyentuh tentang perpaduan kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan yang bersatu hati mengangkat martabat negara demi tanah air tercinta.

Ia diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) selaku Pengerusi Jawatankuasa Media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, serta menjadi latar semangat bagi pelbagai program kemerdekaan di seluruh negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
