Merdeka 68: Pelancong Asing Terpukau Dengan Persembahan Hebat Siti Nurhaliza

Biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan 2025, Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni sempena Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025.

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Tumpuan lebih 100 ribu pengunjung terarah kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mencuri perhatian ketika mendendangkan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan 2025, Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni, di Dataran Putrajaya, pagi ini.

Kemunculan penyanyi tersohor tanah air itu di pentas utama nyata mengundang sorakan gemuruh dan tepukan panjang daripada hadirin yang terpegun dengan lontaran vokalnya ketika menyanyikan lagu ciptaan komposer muda, Affan Mazlan itu.

Suasana bertambah meriah apabila pengunjung di Dataran Putrajaya turut sama menyanyi secara spontan sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

Biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan 2025, Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni sempena Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025.

Malah pelancong asing yang melihat sendiri persembahan hebat selama kira-kira empat minit itu turut sama menggoyangkan badan mendengar keasyikan suara merdu penuh bertenaga penghibur tersohor tanah air itu.

Nyanyian penuh penghayatan oleh Siti Nurhaliza bukan sahaja menghidupkan tema Hari Kebangsaan tahun ini, malah memberi aura istimewa pada acara yang turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, bermula secara rasmi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri kabinet Kerajaan MADANI hadir menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025. Foto Bernama

Pelbagai persembahan serta perarakan menghiasi sambutan tahun ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias.

Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *